105 Mahasiswa Malaysia Terperangkap Rusuhan Di Sudan

105 Mahasiswa Malaysia Terperangkap Rusuhan Di Sudan

KUALA LUMPUR – Kedutaan Malaysia ke Sudan mahu 105 mahasiswa negara ini yang terperangkap dalam pergolakan di Khartoum pulang ke tanah air kerana situasi di kawasan tersebut boleh menjadi semakin serius.

Dutanya, Mohamad Razdan Jamil berkata, dalam tempoh 24 jam situasi boleh menjadi semakin buruk malah pihaknya mahu mahasiswa pulang kerana universiti di kawasan tersebut ditutup.

“Keselamatan mereka keutamaan kami, paling penting untuk pastikan mereka semua selamat sebelum memutuskan sebarang tindakan selanjutnya.

“Mahasiswa turut diingatkan agar tidak menyertai mana-mana perhimpunan politik serta menjauhkan diri dari tempat awam yang boleh menjejaskan keselamatan,” katanya seperti dilaporkan akhbar Harian Metro, hari ini.

Sejak 19 Disember lalu, perusuh dan penunjuk perasaan membanjiri jalan raya di Khartoum selepas kerajaan membuat keputusan untuk menaikkan kos roti dan akan menyebabkan kos sara hidup meningkat.

Ekoran insiden tersebut 105 mahasiswa tempatan terperangkap ekoran penutupan universiti akibat pergolakan.

Tambah Mohamad Razdan, secara keseluruhannya 150 rakyat Malaysia menetap di negara tersebut termasuk mahasiswa, diplomat serta ahli perniagaan. – UTUSAN ONLINE