Katanya, lebih 20,000 tenaga kerja terlibat adalah daripada rantaian bekalan meliputi lebih 600 syarikat Malaysia.

“Daripada 20,000 tenaga kerja itu, lebih daripada 3,000 adalah kakitangan usaha sama MMC Gamuda dan lebih 60 peratus adalah bumiputera.

“Ini akan menyebabkan kesulitan yang tidak perlu kepada sejumlah besar tenaga kerja Malaysia dalam pasaran yang sudah pun lembap,” kata Gamuda Bhd. dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Dalam makluman itu juga, MMC Gamuda, syarikat usaha sama 50:50 antara Gamuda dan MMC Corporation Bhd. menegaskan masih tidak menerima pemberitahuan rasmi berhubung penamatan kontrak MRT2 oleh Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. atau kerajaan.

Menurut MMC Gamuda, tidak ada pengesahan rasmi daripada MRT Corp bahawa pihaknya telah ditamatkan sebagai kontraktor bawah tanah.

Syarikat usaha sama itu telah terlibat dalam perbincangan dan rundingan dengan Kementerian Kewangan sejak dua bulan lalu untuk mengkaji skop kerja dan spesifikasi projek de ngan matlamat mencapai kompromi pengurangan kos.

MMC Gamuda juga bersetuju untuk menukar model rakan kongsi penyerahan projek (PDP) kepada kontrak turnkey tunggal untuk kerja-kerja bertingkat dengan penurunan harga sebanyak 23 peratus.

Jelas MMC Gamuda, penamatan kontrak itu akan mendedahkan syarikatnya kepada tindakan undang-undang untuk pampasan daripada pekerja, subkontraktor, pembekal, pengeluar dan lain-lain yang kontraknya akan ditamatkan.

“Dalam membuka tender kepada syarikat antarabangsa yang dirancang oleh Kementerian Kewangan, hanya kontraktor asing yang layak, melainkan jika kementerian mengurangkan syarat.

“Kontrak terbabit sudah pasti akan diberikan kepada kontraktor asing yang kemudiannya menggunakan kakitangan yang berpengalaman dari negara mereka sendiri,” katanya. – Utusan