Beliau sebelum ini telah bertemu dengan Menteri Besar, Aminuddin Harun untuk memaklumkan mengenai tahap kesihatannya dan dinasihatkan supaya berehat serta mendapatkan rawatan.

“Tidak benar (saya akan letak jawatan),” katanya ringkas kepada pemberita yang menemui beliau di pejabatnya di Wisma Negeri dekat sini tadi.

Turut serta, isteri beliau, Sarimah Zaizakrani dan pegawai khasnya, Aminuddin Mohamed Yunus.

Sementara itu, menurut Aminuddin, sebelum ini Nazaruddin diberikan cuti selama 13 hari bagi memulihkan keadaanya kembali, dan setelah beberapa rawatan dilakukan tahap kesihatannya kelihatan bertambah baik.

Katanya, buat masa ini semua kerja di pejabat diuruskan olehnya, manakala di kawasan pula dikendalikan oleh seorang pembantu yang mewakili Nazaruddin di Dun Pilah.

Dalam pada itu, isterinya ketika ditemui berkata tahap kesihatan suaminya mula merosot selepas hari raya lalu, sehingga menyebabkan beliau tidak mampu berkomunikasi dengan baik.

Katanya, hasil pemeriksaan oleh doktor merumuskan suaminya itu menghadapi masalah tekanan kerja.

Katanya, akibat daripada itu prestasi kerjanya terganggu, malah tidak seaktif dulu.

“Kita boleh bercakap dengan dia dan beliau memahami apa yang diberitahu tetapi sukar untuk membalasnya semula.

“Namun ada masanya dia okay, cuma kini dia masih memerlukan rawatan lanjut untuk dipulihkan sepenuhnya.

“Kita mendapatkan pelbagai rawatan untuk pulihnya semula, sama ada kaedah moden mahupun tradisional,” katanya.

Tambahnya, beliau yakin suaminya akan pulih sepenuhnya, namun memerlukan masa untuk kembali seperti dahulu.

Sebelum ini, tersebar berita mengatakan Mohamad Nazaruddin sakit, malah beliau tidak hadir selama tiga hari kerana bercuti sakit semasa sidang Dun bulan lalu.

Berikutan itu, timbul khabar angin bahawa beliau akan meletak jawatan sebagai Adun Pilah akibat masalah kesihatan dihadapinya.

Dalam PRU14 lalu, Mohamad Nazaruddin memenangi kerusi Dun Pilah menewaskan calon BN, Datuk Norhayati Omar dan calon Pas, Ahmad Fadzil Othman dengan majoriti 1,806 undi. – SH