Apa Cerita Pemansuhan Hutang Peneroka Felda? – Afriz

Apa Cerita Pemansuhan Hutang Peneroka Felda? – Afriz

Menurut beliau, yang jelas dilaksanakan hanyalah sekadar beberapa perkara termasuk pemansuhan GST namun untuk tumpuan lain seperti penghapusan hutang peneroka Felda masih lagi tidak menampakkan sinar untuk warganya.

“PH sebagai sebuah kerajaan yang mengaku lebih bertanggungjawab berbanding kerajaan terdahulu haruslah membuktikan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa kata-kata itu bukan sekadar gula-gula politik.

“Walaupun ada sebahagian besar daripada rakyat Malaysia yang sangsi dengan janji-janji PH sepanjang kempen PRU14 yang lalu, ianya tetap mendapat perhatian dan ini sudah tentu membawa kepada sokongan terhadap PH atas dasar percaya.

“Rakyat telah meletakkan kepercayaan bahawa 10 manifesto yang dijanjikan akan ditunaikan dalam tempoh 100 hari PH berkuasa dan sudah pasti rakyat telah mencipta dunia fantasi mereka sendiri yang membawa mereka kepada satu kehidupan yang lebih baik berbanding sebelumnya berdasarkan kepada janji-janji tersebut,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Katanya lagi namun tempoh 100 hari itu telah pun berlalu  dan yang kedengaran hari ini adalah alasan demi alasan dilontarkan termasuklah menyalahkan kerajaan terdahulu yang dikatakan sebagai faktor kepada kegagalan pelaksanaan janji-janji mereka sebelum ini.

“Subsidi petrol bersasar…perkara ini belum dilaksanakan kecuali menetapkan harga RON95 pada harga RM2.20 dan Diesel RM2.18. Apakah rakyat masih percaya bahawa harga minyak akan turun seperti mana yang dijanjikan? KWSP untuk suri rumah…cakap politik Timbalan Perdana Menteri dan hari ini janji tersebut berbalik kepada proses kajian dengan pelbagai alasan.

“Kajian semula beberapa projek mega yang mana memperlihatkan kerajaan hari ini bersikap “flip-flop” khususnya projek ECRL dan HSR. Kegagalan kerajaan PH menunaikan apa yang dijanjikan dalam tempoh yang diwar-warkan bererti kerajaan sedia ada adalah sebuah kerajaan dibentuk dari pembohongan bukan berasaskan kepada keupayaan dan kemampuan mereka mentadbir,” ujarnya. -MediaUMNO