Bajet 2019 Memungkiri Janji Pilihan Raya

Bajet 2019 Memungkiri Janji Pilihan Raya

RM310 bilion peruntukan Bajet 2019 merupakan yang terbesar pernah dibentangkan dan menimbulkan pelbagai persoalan penting untuk dijawab pada masa depan.

Pertamanya, bagaimana sebuah kerajaan yang mendakwa negara ini tiada wang untuk memberi subsidi kepada petani, pekebun kecil dan mengekalkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) berupaya menyediakan peruntukan yang lebih besar daripada tahun sebelumnya.

Kedua, Bajet 2019 menyatakan akan melakukan pemotongan wajib ke atas peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) yang bergaji RM1 ribu ke atas.

Ia bertentangan dengan manifesto Pakatan Harapan yang berjanji hanya akan mewajibkan pembayaran semula PTPTN ketika peminjam bergaji RM4 ribu sebulan. Apakah Lim Guan Eng sudah lupa janji tersebut?

Apa guna menghapuskan senarai hitam ke luar negara ke atas peminjam PTPTN yang ingkar jika mereka mengambil tindakan lebih zalim memotong terus walaupun pendapatan sekadar RM1,001.00 sebulan.

Ketiga, pengumuman pengapungan semula harga RON95 satu lagi kemungkiran janji Pakatan Harapan. Dalam manifesto pilihan raya umum lalu PH berjanji untuk menstabilkan harga minyak dan memperkenalkan semula subsidi petrol secara bersasar.

Dengan pengapungan ini sudah tentu tiada kestabilan harga seperti yang dijanjikan. Malah lebih serius ialah apa yang dipanggil subsidi petrol bersasar jelas tersasar. Pemberian subsidi petrol sepatutnya berasaskan pendapatan bukannya kapasiti atau cc kereta.

Mereka yang berpendapatan rendah dan tinggal di bandar akan tetap merasai kenaikan harga petrol RON95 kerana subsidi 30 sen untuk 100 liter setiap bulan tidak menampung penggunaan sebulan.

Keempat, kerajaan berjanji untuk menghapuskan semua tol di seluruh negara. Malangnya dalam bajet kali ini hanya penunggang motosikal di Jambatan Pertama dan Kedua Pulau Pinang dan Lebuhraya Laluan Kedua Johor-Singapura yang bebas tol. Jangan kata semua lebuh raya bertol dihapuskan, satu pun tidak dibuatnya.

Kelima janji untuk mengurangkan defisit pentadbiran negara juga sekadar bermanis di mulut. Dalam kempen pilihan raya lalu mereka mendakwa bajet defisit kerajaan Barisan Nasional lalu akibat ketirisan dan rasuah bukannya kerana keperluan.

Mereka mendakwa bajet defisit negara boleh ditukar kepada bajet berimbang melalui kecekapan pengurusan, tender terbuka, menghapuskan ketirisan dan membasmi rasuah.

Sebaliknya hari ini, mereka membentangkan bajet yang lebih banyak wang dan lebih tinggi defisit berbanding BN.

Kerajaan PH membentangkan bajet pengurusan 2019 sebanyak RM259.85 bilion. Ini merupakan RM25.6 bilion lebih tinggi dari perbelanjaan mengurus bajet kerajaan BN 2018 (RM234.25 bilion).

Sangatlah menghairankan bagaimana perbelanjaan pengurusan tahun hadapan meningkat berpuluh bilion sedangkan kerajaan mengumumkan bonus rendah berbanding tahun lalu, memotong peruntukan bantuan rakyat dan mendakwa telah menghapuskan ketirisan dan rasuah.

Tampaknya Bajet 2019 bukan sahaja memungkiri janji pilihan raya malah berhadapan defisit yang lebih tinggi dari tahun-tahun sebelumnya. Bercakap memang mudah, melaksanakannya satu hal lain.

– KAB