BN Akan Adakan Mesyuarat Tentukan Calon PRK Port Dickson – Mohamad

BN Akan Adakan Mesyuarat Tentukan Calon PRK Port Dickson – Mohamad

SEREMBAN – Barisan Nasional (BN) dijangka akan bermesyuarat dalam masa terdekat bagi menentukan sama ada akan meletak calon atau tidak dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson (nama asal Teluk Kemang).

Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan berkata ia bagaimanapun terpulang kepada keputusan yang dicapai Majlis Tertinggi BN kelak.

“Jika BN bersetuju untuk meletak calon, semua pandangan akan diambil kira termasuk daripada Badan Perhubungan Negeri dan juga bahagian sebelum memutuskan siapa calon yang layak dan ‘credible’ (berkredibiliti) untuk mewakili BN dalam PRK tersebut.

“Setakat ini kita BN akan meneliti dan berbincang perkara ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengumuman yang dibuat Setiausaha Agung PKR yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Saifuddin Nasution Ismail hari ini bahawa kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan bagi memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding sebagai persiapan untuk menjadikan beliau sebagai perdana menteri kelapan.

-Pengumuman itu menamatkan teka-teki kawasan Parlimen yang dipilih Anwar, yang sebelum ini pernah menyatakan ada tiga kawasan yang menawarkan kerusi Parlimen bagi beliau bertanding iaitu di utara, tengah dan selatan, tanpa menamakan kerusi berkenaan.

Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata secara peribadinya, beliau berpandangan calon yang akan dipilih mewakili BN dalam PRK itu kelak seeloknya adalah anak tempatan.

Parlimen Port Dickson, yang memiliki sejumlah 75,381 pengundi mengikut daftar pemilih semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14),  disandang oleh Datuk Danyal Balagopal Abdullah.

Danyal Balagopal adalah wakil tunggal PKR daripada lima kerusi Parlimen Pakatan Harapan di Negeri Sembilan.

Kerusi Parlimen Port Dickson, yang merupakan kubu kuat PKR sejak 2008, mempunyai lima kerusi Dewan Undang Negeri iaitu Chuah dan Lukut, masing-masing dikuasai DAP,  Bagan Pinang dan Linggi (BN) dan Sri Tanjung (PKR).

Pada PRU14, 9 Mei lepas, Danyal Balagopal, 68, bekas pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengalahkan calon BN Datuk V.S. Mogan dan calon PAS Mahfuz Roslan dengan majoriti 17, 710 undi.

PRK Parlimen Port Dickson akan diadakan selepas Danyal Balagopal melepaskan jawatannya sebagai wakil rakyat kawasan itu hari ini. – MediaUMNO