Calon Bebas Bertanding Bendung Keangkuhan Politik

Calon Bebas Bertanding Bendung Keangkuhan Politik

KUALA LUMPUR – Calon bebas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, Stevie Chan Keng Leong menegaskan beliau menawarkan diri untuk bertanding kerana mahu membendung keangkuhan politik.

Katanya, disebabkan keangkuhan seorang pemimpin, rakyat terpaksa berdepan PRK dan budaya keangkuhan politik itu jika tidak dibendung akan membawa negara ke arah jalan yang menyeleweng seperti sebelum ini.

Justeru, beliau berharap orang ramai dapat melihat masalah sebenar ‘Langkah PD’ itu dan sama-sama meruntuhkan elitisme politik serta cara mereka yang bongkak.

“Pada 9 Mei lalu, rakyat Malaysia meraih harapan untuk demokrasi namun tidak sampai empat bulan, harapan itu bakal dipijak-pijak oleh mereka yang mabuk kuasa.

“Namun saya yakin, etika dan nilai rakyat Parlimen Port Dickson tidak akan dapat menerima kemunduran berkenaan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Personaliti media sosial berusia 51 tahun itu berkata, beliau bukan hendak tunjuk lagak atau ingin terkenal, sebaliknya mahu menolak budaya politik lama.

Keng Leong berkata, beliau juga tidak pernah berada di bawah naungan mana-mana kumpulan berkepentingan atau parti politik tertentu, sebaliknya menjadi calon yang benar-benar bebas.

Katanya, beliau sentiasa lantang menentang korupsi, nepotisme, penyalahgunaan kuasa, kesombongan politik dan akan terus membantah kuasa politik terdahulu (UMNO dan Barisan Nasional).

“Walaupun ada yang mempertikai, saya masih Stevie Chan yang sama, yang masih lantang dan jujur di Twitter. Namun sekarang, saya perlu berubah mengikut perkembangan semasa.

“Saya tidak bertuankan sesiapa kecuali rakyat dan marilah bersama-sama kita menolak politik lama dan keangkuhan politik,” katanya.

Keng Leong berkata, selepas mengumumkan untuk bertanding, beliau dimaklumkan bahawa ada pihak yang mempersoalkan pendiriannya terhadap pelbagai isu termasuk pendapat atas talian sebelum ini.

Katanya, beliau mengambil keputusan memadam semuanya dan memulakan kempen PRK dengan buku baharu berikutan pandangan terdahulu tidak seharusnya membelenggu kempen berkenaan.

“Saya dikritik kerana kelakuan dan kepercayaan yang dianggap tidak konsisten selain digelar ejen sesetengah parti politik, seorang yang anti Islam dan macam-macam lagi.

“Semua pendapat peribadi mengenai semua isu kebanyakannya kekal sama sejak dahulu tetapi hakikatnya, pandangan peribadi dan pendapat yang mewakili kebaikan umum tidak mungkin akan sentiasa selari.

“Ia bukan mudah namun itulah kelebihannya berbanding pihak lawan yang harus mempertimbangkan posisi parti, posisi pakatan mereka, posisi penaja dan barulah pandangan peribadi serta pendapat rakyat,” katanya.

Keng Leong berkata, beliau tetap akan berdiri teguh meskipun sedar bakal berdepan lawan kuat dan disokong penuh oleh parti politik yang sudah bertapak sekian lama.

Apapun, beliau mengharapkan pengundi Parlimen Port Dickson akan mengetepikan kekurangan dirinya dan melihat ancaman lebih besar ‘Langkah PD’ pada PRK, 13 Oktober depan.

“Saya ketepikan segala-galanya untuk melawan elitisme politik,” katanya yang berjanji akan mengeluarkan manifesto untuk PRK itu tidak lama lagi. – BH