DAP Didakwa Ada Agenda Hapuskan Institusi Raja-Raja Melayu

DAP Didakwa Ada Agenda Hapuskan Institusi Raja-Raja Melayu

KLANG – Masyarakat Melayu dan Islam perlu berwaspada dengan DAP yang didakwa ada agenda menghapuskan institusi Raja-Raja Melayu dan mewujudkan sistem pemerintahan republik di negara ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mendakwa apabila sistem republik dilaksanakan, Penasihat DAP, Lim Kit Siang akan dilantik menjadi Presiden.

Katanya, ini dengan sendirinya Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu menjadi Ketua Agama Islam yang menyebabkan Islam menjadi lemah dan pada masa depan bukan lagi agama rasmi negara ini.

“Walaupun Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri, kuasa adalah di tangan DAP dan beliau tidak berani menegur Kit Siang kerana takut hilang kuasa.

“Ini kerana Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mempunyai kerusi yang kecil berbanding DAP,” katanya berucap pada ceramah malam akhir Barisan Nasional(BN) di Taman Nahkoda Yusof, Kampung Jawa, di sini malam ini.

Yang turut hadir Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa; calon BN, Datuk Lokman Noor Adam; Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad dan Ketua Puteri, Datuk Zahida Zarik Khan.

Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak, berkata orang Melayu tidak lagi boleh duduk diam dengan pelbagai penghinaan terhadap Melayu dan Islam.

Katanya, selepas Pakatan Harapan(PH) mengambil alih pemerintahan Melayu dihina dan Islam diperlekeh.

“Dulu Menteri Kewangan Melayu, sekarang bukan selepas kuasa bertukar tangan. Habis lah kita kalau hanya berdiam… kita perlu bangkit.

Tajuddin turut meminta masyarakat Melayu bangkit mendesak Dr Mahathir meletak jawatan kerana membiarkan Melayu dan Islam diperlekeh.

“Kita akan gerakkan tuntutan ini sebagai mana beliau mendesak Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dulu.

“Gerakan ini akan bermula di Pasir Salak tidak lama lagi,” katanya.