DUN RANTAU: 29 Ogos Jadi Penentu

DUN RANTAU: 29 Ogos Jadi Penentu

SEREMBAN – Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 29 Ogos ini tarikh untuk mendengar keputusan berhubung pembatalan petisyen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan terhadap calon PKR, Dr S Streram.

Hakim Mahkamah Tinggi Seremban, Datuk Azimah Omar membuat ketetapan selepas responden kedua dan ketiga iaitu Pegawai Pilihan Raya DUN Rantau, Amino Agos Suyub dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat bantahan terhadap pembatalan petisyen dalam prosiding yang berlangsung hari ini.

Sehubungan itu responden kedua dan ketiga akan dibicarakan pada 12, 13, 14, 27 dan 28 September serta 1 dan 2 Oktober ini.

Jika permohonan Mohamad selaku responden pertama diluluskan mahkamah, beliau tidak akan dibicarakan namun jika gagal bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu perlu hadir perbicaraan selama tujuh hari bersama Amino Agos serta SPR.

Dalam prosiding hari pertama semalam, Mohamad diwakili lima peguam iaitu Datuk Hafalizam Harun, Syed Faisal Syed Abdullah, Abu Bakar Isa Rahmat, Yazid Mustaqim dan Iqhmal Syafiq Azim, manakala Dr Streram diwakili Muhammad Hanif Kathri Abdullah, Muhammad Rafique Rashid Ali, GP Sreekant dan S Sathia.

Ketika berhujah, Syed Faisal meminta mahkamah meluluskan permohonan Mohamad berikutan petisyen dikemukakan Dr Streram tidak mengikut peraturan.

Hujahnya, petisyen itu tidak dihantar sendiri kepada Mohamad, Aminos Agos dan SPR sebaliknya diberikan kepada pegawai lain.

“Malah Dr Streram juga menuduh anak guam kami (Mohamad) melakukan sogokan, jamuan dan intimidasi namun dalam petisyen itu tidak dinyatakan bukti atau fakta berkaitan dakwaannya. Ia melanggar Kaedah 15 Akta Pilihan Raya 1958,” hujahnya.

Syed Faisal berkata, petisyen itu bersifat defektif atau cacat malah Dr Streram juga tidak boleh mengemukakan petisyen kerana tidak layak menjadi calon atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atas beberapa sebab.

“Ini kerana Dr Streram tidak bermastautin secara tetap, berterusan atau berkesinambungan di Rantau.

“Berdasarkan alamat pada petisyen itu beliau beralamat di Nombor 737, Lorong Angsi, Taman Tuanku Mambau namun laporan polis dibuatnya beralamat nombor 727 di jalan itu,” katanya.

Syed Faisal turut mempertikaikan apabila pakar bius berkenaan menetap di taman yang diduduki penduduk biasa tidak sesuai dengan kariernya.

“Kami juga mendapati alamat lesen memandu Dr Streeam adalah di Klang, Selangor. Beliau tidak boleh mengemukakan petisyen kerana tidak layak menjadi calon,” katanya.

Dalam hujah balas Muhammad Rafique berkata, petisyen menunjukkan tiada pemilihan pada PRU di DUN Rantau malah Amino Agus dan SPR menarik semula bantahan berkenaan, hari ini.

“Pihak kami sememangnya tidak memberikan petisyen secara peribadi kepada Mohamad tetapi menggunakan kaedah kedua iaitu menggunakan pos pada alamat semasanya.

“Ketika pengurusan kes pada 30 Mei lalu, disahkan Mohamad menerima petisyen dan pemeriksaan di pejabat pos mendapati ia sudah dikirimkan,” katanya menegaskan penyampaian sempurna dilaksanakan.

Hujahnya, nombor premis 737 dan 727 berada di satu jalan di Negeri Sembilan dan Malaysia malah tidak perlu diperbesarkan.

“Soal layak atau tidak sebagai calon adalah keputusan responden kedua dan ketiga yang mana kami dihalang pada 9 Mei lalu.

“Afidivit sudah memasukkan butiran watikah daripada PKR, pencadang dan penyokong, tidak muflis, usia melebihi 21 tahun dan alamat bukanlah penentu layak atau tidak,” katanya.

Beliau berhujah, anak guamnya patut mencabar keputusan responden kedua dan ketiga pada PRU lalu malah kedua-dua pihak itu sudah menarik semula bantahan.

“Apabila pihak kami tidak dibenarkan memasuki dewan untuk penamaan calon, siapa mendapat kepentingan. Sudah tentu Mohamad Hasan yang diumumkan menang tanpa bertanding,” katanya.

Dalam prosiding itu, lebih 100 penyokong BN memberikan sokongan kepada Mohamad termasuk ADUN dan Ketua UMNO Bahagian kawasan masing-masing. – BH