Jabatan Perangkaan Malaysia merekodkan individu berumur 15 hingga 39 tahun pada tahun 2017 melebihi 14.5 juta orang. Jumlah tersebut mewakili 45.4 peratus atau menghampiri separuh daripada populasi negara yang dianggarkan mencecah 32 juta orang.

Persoalannya, sejauh manakah peranan membina negara difahami generasi muda dalam suasana kemeriahan kita menyambut ulang tahun Hari Kebangsaan ke-61 yang jatuh pada hari ini?

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung, Zamri Mohd. Isa berkata, perjuangan pasca merdeka tidak lagi memerlukan anak muda mengangkat senjata atau menunjukkan kekuatan fizikal semata-mata.

“Perjuangan zaman moden ialah keupayaan rakyat menguasai teknologi dan ilmu, mempunyai pemikiran tajam, kebijaksanaan, etika, integriti untuk membina sebuah negara yang kuat dan tidak mudah diinjak.

Sikap mulia

“Itu antara elemen penting dalam usaha pembinaan negara dan harus dilakukan secara berterusan untuk kelangsungan kesejahteraan tanah air kita,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Beliau berkata, menjadi seorang warga negara yang baik, berbudi bahasa dan berakhlak murni juga merupakan satu bentuk perjuangan yang boleh menaikkan nama negara supaya dihormati dan disegani.

Katanya, sikap mulia seperti menjaga kebersihan meskipun kelihatan remeh mampu memberi impak besar sekali gus ia melengkapi ciri seorang warga negara bernilai yang menjadi aset penting kepada negara.

Tambahnya, tidak kira di lapangan mana seseorang itu bekerja sikap seperti jujur, amanah dan berdisiplin membolehkan seseorang itu menyumbang kepada negara dan masyarakat dengan cara tersendiri dan sama-sama mengambil bahagian dalam membina negara.

Sejarawan Negara, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim berkata, penghayatan terhadap erti kemerdekaan menuntut warganya mengenali sejarah negara.

“Apa yang sudah berlaku sebelum itu, bagaimana pembentukan Malaysia yang merapatkan sembilan kerajaan bebas. Sehingga hari ini di seluruh dunia tidak ada negara yang mempunyai dua raja. Tetapi Malaysia ada sembilan raja.

“Kalau kita tidak tahu sejarah bagaimana kita nak faham apa yang berlaku. Apa yang wujud sekarang ialah akibat apa yang sudah berlaku dahulu. Jadi sejarah tak boleh dielak atau dilupakan,” tuturnya.

Tambahnya, rakyat Malaysia juga perlu memahami undang-undang. Jika ia difahami, apa sahaja perubahan yang berlaku tidak akan menjadi perkara mengelirukan.

Tokoh yang merupakan antara individu terlibat dalam merangka dan menulis lima prinsip Rukun Negara itu secara peribadi melihat masih ramai generasi muda kurang memahami bagaimana asalnya Malaysia ditubuhkan menjadi sebuah negara.

“Rukun Negara itu diwujudkan dengan tujuan memberitahu rakyat. Dalam Rukun Negara ada prinsip keluhuran perlembagaan. Ia undang-undang tertinggi negara. Undang-undang lain yang bertentangan dengan perlembagaan tidak sah.

“Kita juga mengamalkan sistem pengasingan kuasa. Tugas Parlimen meluluskan undang-undang bila lulus, bahagian eksekutif diketuai Kabinet bertanggungjawab menguatkuasakan undang-undang.

“Kalau timbul masalah berkaitan undang-undang hanya badan kehakiman saja boleh membuat tafsiran. Kalau kita faham semua ini tak perlu gaduh. Kacau bilau berlaku kerana tidak faham undang-undang,” tuturnya.

Hayati sejarah

Dalam pada itu, Pengarah Penerbitan The Patriots, Syazrul Aqram Iman Sulaiman melihat sambutan generasi muda berhubung aktiviti menulis dan membaca penulisan ilmiah serta bahan berunsur sejarah kian berkembang dan lebih baik berbanding dekad sebelum ini.

The Patriots ialah komuniti penulisan yang diasaskan pada tahun 2013 oleh dua pemuda iaitu Jamalee Bashah dan Helmi Effendy bertujuan menjadikan budaya ilmu sebagai asas kehidupan rakyat Malaysia. Patriot sendiri mendukung maksud orang yang mencintai negara serta sanggup mempertahankannya.

“Terdapat 177 penulis yang telah menyumbang. Orang muda dalam kumpulan ini melebihi 100 orang. Identitinya penulisan ialah memartabatkan bahasa Melayu, meninggikan kebenaran dan mengukuhkan kepercayaan.

“Memahami dan menguasai subjek sejarah dan kenegaraan boleh meningkatkan semangat patriotik. Lalu kami hidangkan penulisan-penulisan berbentuk sejarah dan kenegaraan kepada pembaca untuk tujuan tersebut.

“Mengenali sejarah dan menguasainya akan membuatkan seseorang lebih menghayati kemerdekaan. Kerana, ia salah satu cara mengekalkan tradisi dan budaya yang baik serta progresif untuk nilai-nilai kemerdekaan,” kongsinya. – Kosmo