GAMIS Kena Kembali Kepada BBPM – Wan Saiful

GAMIS Kena Kembali Kepada BBPM – Wan Saiful

ARAU: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) seharusnya kembali kepada Budaya Baru Politik Mahasiswa Gamis (BBPM) seperti yang diuar-uarkan gabungan itu pada September tahun lalu.

Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Wan Saiful Wan Jan, berkata tindakan mahasiswa GAMIS yang berarak sambil mendesak Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dan dirinya meletak jawatan seolah sudah melanggar prinsip BBPM yang diamalkan mereka selama ini.

“Saya tak mahu ulas bab itu (desakan GAMIS), tapi saya nak ulas satu kenyataan yang dikeluarkan mereka di Facebook pada 11 September tahun lalu.

“Pada kenyataan itu, GAMIS menyatakan bahawa mereka berpegang pada BBPM dan di dalamnya ada tujuh budaya atau ciri-ciri yang ditekankan dalam kerangka mahasiswa berpolitik.

“Antaranya pembudayaan politik berteraskan Islam, mengutamakan diplomasi seperti diskusi dan pendekatan damai, serta mengelakkan pertentangan fizikal dan huru hara. Jadi saya harap GAMIS periksa semula adakah tindakan mereka semalam (kelmarin) selari dengan BBPM,” katanya ketika ditemui di Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Perlis di Jejawi malam tadi.

Kelmarin, lebih 100 mahasiswa terdiri daripada GAMIS berarak sejauh kira-kira tiga kilometer (km) dari pekarangan Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Masjid Jamek ke menara PTPTN sambil membawa beberapa sepanduk seperti ‘Mahasiswa Ditekan’ dan ‘Kami Ditipu’.

Mereka mendesak Maszlee dan Wan Saiful untuk meletakkan jawatan selepas didakwa gagal melaksanakan janji Manifesto Pakatan Harapan (PH) iaitu peminjam PTPTN membuat pembayaran balik apabila gaji mereka melebihi paras RM4,000.

Mengulas lanjut mengenai desakan itu Wan Saiful berkata, dia mengalukan pendapat bernas dari GAMIS dalam membantu kerajaan melaksanakan janji berkaitan PTPTN di masa akan datang.

“Pada Disember ini, PTPTN akan mengadakan sesi penerangan bersama pemegang taruh di seluruh negara dan GAMIS adalah salah satu daripada pemegang taruh yang akan dipanggil.

“Jadi saya harap pada waktu itu, mereka boleh kemukakan idea dan rumusan yang bertepatan dengan BBPM GAMIS,” katanya.- Berita Harian