Timbalan Duta Besar Malaysia di Indonesia, Zamshari Shaharan berkata, kedutaan berjaya menghubungi 84 warga Malaysia di beberapa lokasi di Lombok setakat pagi ini dan dimaklumkan mereka berada dalam keadaan selamat.

“Kedutaan juga berjaya menghubungi para pelajar Malaysia yang menuntut di Bali dan mereka juga dilaporkan berada dalam keadaan selamat,” katanya.
Gegaran gempa bumi kuat di Lombok Utara jam 6.46 petang semalam itu turut dirasai di sekitar Pulau Lombok, Pulau Sumbawa, Pulau Bali dan Jawa Timur.

Kedutaan Malaysia juga menasihatkan rakyat Malaysia yang berada di Lombok supaya kekal berada di tempat yang selamat dan menghindari kawasan berisiko termasuk bangunan yang mengalami kerosakan. – Bernama