Penganalisis politik, Prof Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed berpendapat orang Melayu tidak perlu risau meskipun kadangkala pelbagai keraguan timbul terutamanya daripada orang bukan Melayu yang meminta hak sama rata dengan mereka.

“Perlembagaan memang tetapkan hak-hak dan keistimewaan orang Melayu tidak boleh dicabar dan ditentang, itu jelas. Antara empat peruntukan penting (dalam perlembagaan), salah satunya adalah keistimewaan orang Melayu.

“Apabila ia tidak boleh diganggu, kita pasti kedudukan orang Melayu tetap terpelihara dalam Perlembagaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Begitupun, beliau berpendapat pemimpin Melayu sendiri kadangkala membuat kedudukan orang Melayu terancam sedangkan senario tersebut tidak berlaku dalam kalangan pemimpin Cina.

Jelasnya, pemimpin baik dari DAP, MCA dan Gerakan memperjuangkan kedudukan orang Cina secara bersama meskipun wadah politik mereka berbeza dan keadaan seumpama itu tiada dalam kalangan pemimpin Melayu.

“Kalau kita ingin bincangkan apakah nasib orang Melayu dalam Malaysia baharu, isu yang perlu dilihat adalah bagaimana orang Melayu walaupun terdiri daripada pelbagai parti boleh bersetuju terhadap beberapa perkara terutamanya melibatkan kebajikan orang Melayu.

“Ini yang saya lihat orang Melayu tiada. Berbeza dengan orang Cina. Bila mereka rasa MCA sudah tidak relevan, mereka undi DAP kerana lihat DAP mampu bawa perjuangan orang Cina ke depan tapi dalam Melayu kita berpecah kepada empat atau lima bahagian,” ujarnya. – SH