Hentikan Kenyataan Mengapi-Apikan Isu Perkauman

Hentikan Kenyataan Mengapi-Apikan Isu Perkauman

SHAH ALAM – Masyarakat ditegaskan agar berhenti daripada membuat sebarang kenyataan yang mengapi-apikan isu perkauman di negara ini.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, mana-mana pihak yang terus mengeluarkan kenyataan mengapi-apikan isu perkauman di mana-mana platform media, boleh dikenakan tindakan undang-undang.

“Ini termasuklah individu yang berkedudukan seperti menteri dan ahli politik, mereka perlu bijak ketika mengeluarkan kenyataan dalam memberi maklum balas berkenaan isu ini.

“Jangan buat kenyataan yang cederung kepada mengapi-apikan isu perkauman di negara ini, ia tindakan yang tidak bijak,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tentang insiden yang berlaku di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya.

Musa berkata, apa yang berlaku di kuil berkenaan bukan berpunca dariapa isu perkauman.

“Seperti mana yang ditegaskan dalam siasatan polis, isu ini hanya membabitkan antara dua pihak iaitu pengurusan kuil dan tuan tanah, bukannya isu perkauman.,” katanya.

Dalam hal ini, Musa berkata, polis perlu bertindak lebih tegas bagi mengelakkan insiden ini lebih menular di kalangan masyarakat.

“Polis kena lebih tegas tak kira ke atas siapa pun yang dilihat mengapi-apikan isu perkauman ini sama ada kerajaan atau sebaliknya, ahli politik atau orang awam.

“Namun, tidak dinafikan, apa yang polis telah lakukan sekarang ini tepat dan saya yakin pasukan ini mampu menangani insiden ini dengan baik,” katanya.

Musa memberitahu, jangan di antara kita merosakkan keamanan negara sendiri kerana negara ini adalah tempat kita tinggal melangsungkan kehidupan.

Dalam pada itu, Musa juga menyifatkan perusuh yang bertindak mencederakan anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim sebagai penjenayah.

“Perbuatan perusuh itu sesuatu yang sangat tidak masuk akal, mereka bertindak ganas ke atas pasukan yang datang untuk memberi bantuan dan menyelamatkan mereka.

“Perusuh ini memang penjenayah, tidak menghormati hak orang lain, tidak menghormati kesejahteraan negara dan bertindak mengikut emosi,” katanya. -Sinar Harian