Menerima idea PM-Hotel Wakaf Klana Beach Resort, Port Dickson

PORT DICKSON, 1 Nov : Menyahut dan menerima “Idea” yang dilontarkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak agar tanah wakaf dibangunkan dengan pembangunan yang sewajarnya , Menteri Besar Negeri Sembilan  telah menerima pakai  idea dan cadangan itu dan hari ini  terbinalah satu pembangunan Hotel Wakaf yang dahulunya kawasan tanah wakaf terbiar seluas 3.5 ekar.

Dengan adanya pembangunan hotel wakaf yang bertaraf tiga bintang ini di Kompleks Baitulhilal, Port Dickson,  ianya akan menjadi ikon kepada negeri-negeri lain dan disamping itu akan dapat memberi pulangan yang baik kepada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

Bangunan setinggi empat tingkat ini mempunyai 82 bilik hotel, 3 bilik apartment, 1 bilik mesyuarat yang boleh menempatkan seramai 40 orang, dewan yang boleh memuatkan 200 orang, satu bilik seminar dan cafetaria.

Di sana juga terdapat satu bilik cerapan dimana terletaknya teleskop yang terbesar di Malaysia dengan saiz diameternya 26 inci untuk melihat anak bulan.

Selaku Pengerusi MAINS, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan hadir di majlis penyerahan Hotel Wakaf dari JKR kepada JAWHAR MAINS di Kompleks Baitulhilal, Port Dickson, tengahari tadi.

Turut diadakan acara penyerahan kunci dari Pengarah JKR Negeri Sembilan, Dato’  Roslan Mohd Taha kepada ketua Pengarah JAWHAR, Datuk Hj. Anan bin C. Mohd dan seterusnya beliau menyerahkan kepada Menteri Besar.

Dalam sidang media, beliau menyatakan pembangunan yang menelan belanja sebanyak 30 juta itu, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji ( JAWHAR ) menyumbangkan 1.8 juta manakala MAINS menyumbangkan 1.2 juta.

Beliau menekankan bahawa sumbangan yang dikeluarkan oleh MAINS itu tiada kena-mengena dengan duit zakat tetapi ianya dari dana sumber am iaitu pelaburan.

Oleh : Ainaa

Ainaa@n9kini.com