Ingat, Ahli Umno Paling Ramai

Ingat, Ahli Umno Paling Ramai

SEREMBAN – Rekod Umno yang mempunyai keahlian paling ramai berbanding parti lain membuktikan yang parti itu perlu terus dipertahankan.

Ketua Wanita Umno Negeri Sembilan, Lateffah Ali berkata, meskipun beberapa pemimpin parti itu meninggalkan Umno, namun sokongan di peringkat akar umbi terus subur.

“Sesiapa pun boleh beri pandangan, tapi saya yakin yang Umno akan bangkit. Pandangan saya, bubar itu tidak perlu, tapi dilakukan penjenamaan semula.

“Mungkin Umno ketika ini dilihat berdepan kemelut dalaman khususnya apabila beberapa pemimpin kita keluar parti, tapi itu hanya kes terpencil saja,” katanya.

Beliau mengulas pandangan Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang mengulangi pendapat peribadinya bahawa Umno sudah tidak mempunyai masa depan dalam politik dan mencadangkan agar parti itu dibubarkan.

Lateffah memberi contoh Wanita Umno Negeri Sembilan misalnya, yang masih setia bersama parti itu dan kini mempunyai keahlian 53,524 orang.

Selain itu katanya, tewasnya Umno pada PRU14 adalah sesuatu yang mendukacitakan, tetapi memberi hikmah besar kepada parti itu supaya tidak terus leka. -Sinar Harian