Menteri Besar Aminuddin Harun berkata, Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan yang menyiasat mengenai dakwaan itu mendapati gambar dimuat naik pemilik akaun merupakan gambar lama.

“Saya pun tidak akan pertahankan apa-apa permasalahan yang berlaku di negeri ini jika ia benar tapi ini satu fitnah,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri di sini, semalam.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati pemilik akaun yang memuatkan naik gambar tersebut merupakan penjawat awam kerajaan negeri di sini.

Justeru itu, katanya, beliau telah mengarahkan agar satu laporan polis dibuat berhubung perkara tersebut kerana ia telah memburukkan imej kerajaan negeri.

“Kalau ia satu fitnah, kita terpaksa mengambil tindakan terutama jika ia dilakukan oleh kakitangan kerajaan.

“Sudah banyak kali diingatkan penjawat awam harus bertanggungjawab dan berkhidmat dengan kerajaan negeri hari ini,” katanya.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, pihaknya sedia menerima teguran,kritikan dan pandangan daripada sesiapa sahaja.

Namun, jelasnya, ia mesti berasas dan bertanggungjawab.

“Jika ada sebarang aduan, salurkan kepada kita dan akan disiasat.

“Jika betul, kita akan terus bertindak dan jika tak betul kita terpaksa ambil tindakan terhadap pihak tersebut,” katanya.

Terdahulu tular gambar kononnya berlaku aktiviti pembalakan haram di Hutan Simpan Kekal Lenggeng.

Gambar itu menunjukkan hutan dalam keadaan gondol berserta pokok balak yang telah ditebang. – SH