Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika ini mempunyai tugas berat iaitu merawat semula pelbagai penyakit yang ditinggalkan kerajaan terdahulu.

Sehubungan itu, katanya, beberapa projek pembangunan terpak sa dibatalkan selain kerajaan tidak mempunyai kewangan untuk melaksanakan perbelanjaan tambahan.

“Saya harap rakyat boleh bersama-sama membuat pengorbanan seperti mana kita harapkan. Barisan Menteri dipotong gaji 10 peratus pada hari pertama,” katanya selepas menghadiri majlis taklimat cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bersama peniaga, di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mana Bajet 2019 yang dibentangkan nanti sebagai bajet berhemah dan memerlukan pengorbanan seperti dilakukan beberapa negara yang berdepan krisis kewangan termasuk Greece.

Mengulas lanjut, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, rakyat perlu memahami kerajaan juga terpaksa menanggung beban hutang termasuk RM50 bilion bagi satu syarikat di bawah 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Saya rasa Perdana Menteri maksudkan bahawa skandal kewangan yang berlaku menyebabkan banyak wang hilang, beban hutang tinggi, jadi kita tidak ada wang untuk bagi hadiah kepada rakyat,” katanya.

Sementara itu, Guan Eng berkata, penjualan rokok di kedai makan dan minuman bawah nilai RM500,000 dikecualikan SST.

Katanya, harga rokok ketika ini masih sama, namun cukai perlu dibayar dan kelonggaran tambahan yang diberikan itu hanya membabitkan makanan dan minuman. – Utusan