Jangan Heret Parti Komponen Lain, Tok Mat Beritahu MCA

Jangan Heret Parti Komponen Lain, Tok Mat Beritahu MCA

PETALING JAYA: Timbalan Presiden Umno mengingatkan MCA agar tidak melibatkan parti komponen yang lain jika mahu meninggalkan gabungan itu.

Mohamad Hassan berkata MCA tidak harus mengheret parti komponen lain ke dalam polemik dalaman parti itu.

“Keputusan untuk membubarkan BN jelas sekali menunjukkan bahawa MCA tidak mahu dilihat meninggalkan BN sendirian,” katanya kepada FMT hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong tentang resolusi membubarkan BN.

Resolusi itu diluluskan para perwakilan MCA di persidangan agung tahunan parti itu semalam.

Resolusi itu menyeru pembubaran BN bagi membuka laluan kepada pembentukan gabungan yang lebih berkesan.

Mohamad berkata MCA bertindak sedemikian kerana tidak mahu dilihat meninggalkan BN sendirian.

“MCA tidak mahu dipersalahkan jika keputusan itu dianggap langkah mundur ke belakang dalam mematangkan demokrasi di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata sebagai parti politik yang berprinsip, MCA harus lebih tegas dalam keputusan meninggalkan BN.

“MCA harus lebih ‘decisive’. Keluar sahaja dari BN seperti parti-parti lain yang telah meninggalkan BN tanpa syarat,” katanya.

Jelasnya, keputusan sebegitu akan memudahkan Umno dan parti komponen lain untuk membangunkan semula BN.

“Tindakan MCA tidak memudahkan BN untuk ‘move on’. Ia telah menunda proses rejuvenasi BN,” katanya. -FMT