Kempen Sepi Tetapi Penuh Makna

Kempen Sepi Tetapi Penuh Makna

BARU sahaja hilang dakwat di jari selepas mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis akan mencelup lagi jari pada Sabtu ini.

Kali ini bagi menentukan siapa yang akan mewakili mereka dalam DUN Selangor antara pertaruhan PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni dan Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam.

PAS tidak bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) itu dan memberi laluan kepada calon dari UMNO, tetapi meminta ahli serta penyokongnya mengundi Lokman dengan alasan memperkuatkan suara pembangkang di negeri itu.

Bagi petugas media, ini ialah kempen paling ‘sepi’ antara PRK di negara ini.

Hampir tidak ada ceramah besar-besaran membabitkan pimpinan pusat kedua-dua pihak, kecuali lawatan bersama calon.

Calon bebas, K Murthy, seorang pesara kerajaan juga menempa ‘sejarah’ tersendiri apabila terus ‘lesap’ selepas hari penamaan calon pada 21 Ogos lalu dan tidak langsung berkempen.

Bagaimanapun, ‘kesunyian’ kempen pada PRK DUN Sungai Kandis itu tersembunyi makna yang besar kepada kedua-dua parti bertanding.

Tiada isu

Walaupun tiada isu besar diketengahkan, cabaran dibawa bersama kempen PRK itu amat besar.

Di pihak PKR, Ahmad Zawawi membawa misi besar, iaitu setidak-tidaknya mengekalkan jumlah undi diperoleh Allahyarham Mat Suhaimi Shafiei pada PRU-14 lalu 23,998 undi. Mat Suhaimi menang di kerusi itu dengan majoriti 12,480 undi dalam pertandingan tiga penjuru.

Asasnya, 23,998 undi itu jumlah minimum perlu diperoleh PKR dalam PRK itu dan jumlah majoriti itu perlu dipertahankan.

Jika tidak, banyak persoalan akan perlu dijawab oleh PKR dan Pakatan Harapan (PH) selepas PRK ini kerana Lokman dari awal menyatakan misinya untuk ‘mengutip’ suara rakyat melalui undi untuk membuktikan rakyat sudah mula tidak puas hati dengan pentadbiran PKR di Selangor dan PH di Putrajaya.

Tidak hairan jika PKR amat mengharapkan undi penyokong PAS pada PRK itu yang berjumlah 7,573 ketika PRU-14 bagi menggagalkan dakwaan Lokman dan BN.

Ahmad Zawawi yakin sekurang-kurangnya 50 peratus daripada undi penyokong PAS pada PRU-14 akan berpihak kepadanya.

Ia adalah misi terbesar PKR pada PRK yang ‘sunyi’ ini di sebalik keyakinan calon bahawa penduduk lebih dambakan penyelesaian isu setempat.

PAS arah sokong BN

Bagaimanapun, pengumuman kepemimpinan PAS, termasuk satu himpunan yang dinamakan ‘PAS Selangor Bangkit’ pada malam Sabtu supaya penyokong PAS memberikan kemenangan kepada Lokman membuatkan kem PKR cuak sedikit.

Ketua Penerangan PAS, Nasruddin Hassan, secara terus-terang mengarahkan penyokongnya mengundi Lokman.

“Untuk mengalahkannya (PKR), kena undi siapa? Itu dia ada situ,” kata Nasruddin kepada penyokong PAS sambil menunjuk ke arah Lokman yang turut hadir di majlis ceramah berkenaan.

Di Kem BN, Lokman menyambut perkembangan terbaru bersama PAS itu dengan keyakinan dan kelegaan.

PRK ini memberi makna yang besar juga kepada BN, UMNO dan PAS kerana buat kali pertama persefahaman politik seperti itu terjalin atas dasar sama iaitu, menghentikan sikap PH yang didakwa membelakangkan Islam dan orang Melayu walaupun tidak sampai tiga bulan berada di Putrajaya.

Walaupun menjadikan alasan utama untuk menguatkan suara pembangkang di DUN Selangor, PAS pergi lebih jauh dalam menjustifikasi kerjasama itu, iaitu PH perlu diajar dan diperingatkan bahawa ada dasarnya yang didakwa menyimpang daripada kepentingan Islam dan Melayu.

Apabila bercakap mengenai kepentingan Islam, bekas Setiausaha PAS Selangor, Norman Toha, mengakui penyokong dan ahli parti itu akan mematuhi arahan pucuk pimpinannya.

Berupaya mengurangkan majoriti PKR pada PRK ini ialah kemenangan moral kepada BN, namun ia tugas berat.

Banyak ‘sasaran’ Lokman jika tercapai akan membuatkan PKR tersepit untuk memberi penjelasan kepada rakyat selepas ini.

Lokman akan dilihat ‘menang secara moral’ jika berjaya mengurangkan jumlah undi diterima PKR, mengurangkan majoriti PKR apatah lagi jika menang PRK itu.

Lokman dilihat tidak begitu mempedulikan isu setempat, sebaliknya kekal berpegang kepada sasaran misinya iaitu menggunakan isu nasional, termasuk berkaitan agama Islam dan kaum Melayu sebagai sebagai ‘bukti’ penolakan rakyat terhadap pentadbiran PH.

PAS tidak bertanding pada PRK ini tetapi rupa-rupanya tindakan parti itu memberi pengaruh besar dalam kempen berkenaan.

Selain berhasrat memenangkan BN dalam PRK itu, PAS juga mahu menguji sesuatu dengan tidak bertanding kali ini.

PAS tentu mahu memerhatikan pola pengundian penyokongnya, sama ada ia akan beralih ke PKR atau PH, tidak kisah mengundi BN atau UMNO atau mereka tidak keluar mengundi.

Jika berjaya, apakah kerjasama politik antara BN dan PAS ini akan membuka lembaran kepada lebih banyak gerakan serupa pada PRK akan datang atau bidang lain sepanjang PH mentadbir negara, adalah sesuatu yang menarik diperhatikan.

Ini barangkali yang dimaksudkan oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan bahawa langkah parti itu tidak bertanding juga mahu menguji dapatan dalam ‘post mortem’ pasca PRU-14 parti itu yang tidak pernah dinyatakan kepada umum.

Jika berjaya, apakah kerjasama politik antara BN dan PAS ini akan membuka lembaran kepada lebih banyak gerakan serupa pada PRK akan datang atau bidang lain sepanjang PH mentadbir negara, adalah sesuatu yang menarik diperhatikan. – BH

Oleh JOHARI IBRAHIM