Kerajaan Melaka Mohon Maaf Isu EXCO ‘Naik Suara’

Kerajaan Melaka Mohon Maaf Isu EXCO ‘Naik Suara’

AYER KEROH – Kerajaan Melaka kesal dan memohon maaf berhubung isu video ‘naik suara’ membabitkan seorang EXCO kerajaan negeri bersama penduduk di Kampung Pulau Nibong di sini, semalam sehingga menjadi viral di media sosial.

Ketua Menteri, Adly Zahari, berkata pihaknya mengambil maklum kekurangan pengalaman EXCO Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani negeri, Norhizam Hassan Baktee, dalam menangani isu itu yang turut dibincangkan dalam mesyuarat EXCO kerajaan negeri, hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Tey Kok Kiew, sudah diarahkan untuk melihat kembali permasalahan yang dibangkitkan penduduk kampung terbabit menerusi perbincangan lanjut antara pihak berkuasa tempatan (PBT), penduduk taman dan kampung.

“Sebab itu kerajaan negeri komited untuk membawakan usul penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Melaka (MELCAT) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), November ini.

“Melalui penubuhannya (MELCAT), ia dapat menilai segala amalan membabitkan kecekapan, ketelusan dan kebertanggungjawaban semua penjawat awam, termasuk wakil rakyat, EXCO sehinggalah Ketua Menteri.

“Kita percaya, MELCAT dapat menjadi garis panduan, seterusnya meningkatkan kemahiran pengetahuan untuk menyelesaikan segala isu dan permasalahan rakyat,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO kerajaan negeri di Seri Negeri.

Mengulas mengenai video itu, Adly berkata Norhizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, adalah antara wakil rakyat yang rajin turun padang mendepani permasalahan rakyat di negeri ini.

“Yang Berhormat (Norhizam) ada kesungguhan besar. Cuma dalam isu video ini, penggunaan bahasa yang digunakan tidak sesuai.

“Walaupun dalam provokasi, sebagai pemimpin kita kena tunjuk contoh terbaik termasuk bahasa yang kita gunakan kepada masyarakat,” katanya.

Video Norhizam ‘naik suara’ terhadap penduduk Kampung Pulau Nibong yang viral di media sosial terus mendapat kecaman daripada netizen kerana disifatkan sebagai tidak profesional dan terlalu beremosi dalam menangani masalah rakyat.

Sehingga jam 5.30 petang tadi, berita mengenai ADUN DAP ‘panas’ ditegur penduduk dimuat naik di laman sosial Facebook BH, memperoleh hampir 6,000 komen dan dikongsi lebih 1,500 pengguna FB, malah turut ditonton lebih 17,000 pengguna di laman Youtube.

Rata-rata netizen tidak berpuashati dengan cara Norhizam menangani persoalan daripada penduduk Kampung Pulau Nibong yang disifatkan sebagai beremosi. – BH