Kerajaan PH Diibarat Kerajaan Kaji Semula

Kerajaan PH Diibarat Kerajaan Kaji Semula

KLANG – Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mendakwa kerajaan sengaja menjadikan alasan hutang tinggi sebagai modal untuk melengahkan pelaksanaan janji manifestonya.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu menjelaskan, sebagai sebuah kerajaan yang komited pada janji, alasan seumpama itu tidak boleh diterima sama sekali.

“Alasan hutang adalah untuk membeli masa supaya tidak melaksana janjinya,” katanya berucap pada program Ceramah Rakyat Janji Manismu di Taman Sri Andalas, di sini malam ini.

Turut hadir memberi ceramah, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa serta calon BN, Datuk Lokman Noor Adam.

Beliau berkata, kerajaan sendiri mengakui banyak janji manifesto yang dibuat sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) lalu tidak bersandarkan kepada data dan sumber kewangan yang tepat.

Malah kata beliau, ada data yang diterima ketika ini adalah maklumat sama yang pernah dimaklum dan dikeluarkan oleh kerajaan sebelum ini.

“Ini maknanya apa tuan-tuan? Kerajaan Pakatan Harapan (PH) bila meletakkan janji, dia tidak pasti sama ada boleh atau tidak ditunaikan,” katanya.

Pada ceramah itu, Khairy turut mengibaratkan PH sebagai Kerajaan Kaji Semula, kerana penjelasannya yang tidak menyeluruh dalam soal pelaksanaan janji pemansuhan Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan tol.

“Pakatan Harapan ini adalah kerajaan kaji semula. Bila kita tanya, jawapannya dalam kajian, sedang diteliti. Walhal mereka hanya ada tempoh yang pendek iaitu 100 hari untuk melunaskan janji.

“Jadi dalam PRK kali ini, kita kena kaji semula kerajaan Pakatan Harapan ini,” katanya.

Beliau berkata, kemenangan calon BN dalam PRK kali ini adalah isyarat untuk menyahut seruan kerajaan supaya suara pembangkang yang berwibawa dapat dibentuk.

“Kita sambut apa yang kerajaan mahukan. Lepas ini (harap) seorang lagi (calon BN menang) di DUN Balakong dan Seri Setia, barulah suara rakyat didengar.

“Di Parlimen kita sudah ada suara pembangkang yang kuat. Sebab itu dia tidak berani kata apa. Sebab itu kita kena ada banyak suara di DUN Selangor baru kita boleh lantang bersuara,” katanya. – BH