Kerjasama UMNO, Pas Tidak Main Sentimen Kaum

Kerjasama UMNO, Pas Tidak Main Sentimen Kaum

ALOR SETAR  – Tiada perang saraf yang membabitkan unsur perkauman dimainkan oleh UMNO atau Pas seperti didakwa sesetengah pihak.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, sebaliknya kejayaan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands ekoran kesedaran sebahagian besar orang Melayu, Bumiputera dan umat Islam.

“Saya yakin peningkatan sokongan kepada BN baru-baru ini adalah terjemahan masyarakat Melayu, Bumiputera dan umat Islam untuk terus mempertahankan hak mereka tanpa mengenepikan kepentingan masyarakat pelbagai kaum dan agama di Malaysia.

“Pihak yang prejudis dengan kebersamaan UMNO-Pas itulah barangkali beranggapan bahawa kerjasama ini adalah satu bentuk perang saraf,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Portal berita Malaysia Kini semalam melaporkan, pusat penyelidikan kerajaan Selangor, Institut Darul Ehsan (IDE) sebagai dipetik berkata, strategi perang saraf Pas dan UMNO yang memainkan sentimen Melayu diibaratkan sebagai suatu barah.

Dakwa pusat penyelidikan itu, kedua-dua parti itu cuba menanamkan perasaan takut dalam kalangan orang Melayu bahawa mereka tidak lagi menguasai negara ini sejak 9 Mei tahun lalu.

Malah, beberapa pemimpin PH termasuk calon mereka bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands, M. Manogaran turut membuat dakwaan itu sehingga menyaksikan PH tewas dengan majoriti 3,238 undi. -UTUSAN ONLINE