Tengku Razaleigh berkata, beliau menghargai sokongan dan pandangan peringkat akar umbi di seluruh negara yang mahukannya mengambil alih pimpinan parti.

Walau bagaimanapun katanya, beliau perlu berfikir masak-masak dan memerlukan sedikit masa untuk menilai perkara itu dari pelbagai sudut.

“Ini (jawatan Presiden) adalah tanggungjawab yang besar dalam keadaan yang baharu.

“Saya perlukan masa untuk fikirkan dulu, sebab ini bukan perkara yang mudah kerana ini (ibarat) ketua pasukan ‘sepak takraw’,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Gua Musang di Bukit Cekati, di sini semalam.

Tengku Razaleigh berkata, walaupun Barisan Nasional (BN) mengalami kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), beliau yakin parti itu masih kuat dan disanjung sebahagian besar rakyat.

“Kita mempunyai bisa lagi dalam erti kata memperjuangkan nasib tak kiralah bangsa apa terutama Melayu dan kita tetap mempertahankan Artikel 153 Perlembagaan Malaysia iaitu segala keistimewaan yang dirundingkan semasa kita mahu merdeka dahulu.

“Jadi saya rasa tak perlu kita khuatir kerana UMNO akan dipimpin dengan cara yang bijaksana supaya orang Melayu tetap mempunyai suara yang besar dan didengari oleh rakyat di negara ini,” katanya.

Tengku Razaleigh secara berseloroh berkata, beliau juga tidak menyangka terpaksa berdepan sekali lagi dengan pesaingnya dahulu, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang kini sekali lagi menjadi Perdana Menteri.

“Apalah nasib saya, sebab dulu saya berdepan dengan Dr. Mahathir dan kini berdepan dengan dia lagi.. Ini barangkali ditakdirkan begitu, tetapi saya tak ada niat nak lawan dia.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Dr. Mahathir. Saya berharap dia akan mendapat kerjasama semua pihak untuk memudahkan urusan mentadbir negara dan menyusun semula negara. Kita juga akan bantu dia,” katanya. – UTUSAN