Latheefa Koya Selar Anwar Rancang ‘Langkah PD’ Secara Rahsia?

Latheefa Koya Selar Anwar Rancang ‘Langkah PD’ Secara Rahsia?

SHAH ALAM- Terkenal dengan kelantangannya bersuara, seorang pemimpin PKR Latheefa Koya kali ini secara terang-terangan menyelar pemimpin tertinggi parti berhubung pengosongan kerusi parlimen Port Dickson.

Menerusi status yang dimuat naik di laman sosial Facebook beliau, Latheefa menyelar dan meluahkan rasa kesalnya terhadap seorang pemimpin PKR kerana tidak bertindak mengikut saluran yang sepatutnya.

Meskipun tidak menamakan secara spesifik, status tersebut dipercayai ditujukan buat Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kenapa kamu membuat keputusan tanpa melalui mekanisme parti – tidak melalui biro politik mahupun jawatankuasa pusat.

“Kenapa kamu rancang secara rahsia, kenapa kamu langsung tidak memberitahu kepimpinan tertinggi, dan kenapa kamu biarkan ‘budak’ kamu buat sesuka hati…berlawan dengan sesiapa saja dalam caranya. Reformasi apa yang kamu katakan? Demokrasi apa yang kamu katakan? #janjiakupm,” tulis Latheefa.

Terdahulu awal hari ini Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengumumkan beliau mengosongkan kerusinya demi memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding.

Langkah ini bagi memudahkan Anwar menjadi Perdana Menteri.

Bukan saja Latheefa, pengumuman siang tadi turut menimbulkan rasa tidak puas hati sebahagian pimpinan PKR yang mempersoalkan keputusan parti berhubung pengosongan kerusi tersebut.

Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin dalam kenyataan medianya berkata, keputusan yang diumumkan hari ini dibuat tanpa mesyuarat dan mempertimbangan suara anggota parti.

Timbalan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Dr Afif Bahardin pula menegur partinya agar tidak terburu-buru membuat keputusan.

“Masa terbaik untuk mengadakan pilihan raya kecil adalah setelah pemilihan parti. Satu langkah demi satu langkah, dengan penuh sabar dan tertib,” kata Dr Afif menerusi coretan di Twitternya. – SuaraTV