PAKAR Rujuk Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya, Datuk Dr Firdaus Abdullah menasihatkan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman agar lebih baik tidak mengutarakan pandangan jika dia sendiri tidak begitu memahami yang yang dicakapkan.

Firdaus berkata, ketika bercakap tentang isu ketuanan Melayu, Syed Saddiq bercakap tentang latar belakang sejarah dan cara dia bercakap seperti tidak mengetahui sejarah sepenuhnya.

“Ada pepatah mengatakan ‘berfikirlah sebelum bercakap, jangan segala yang terfikir dicakapkan. Maksudnya, pastikan apa yang kita cakapkan itu, kita tahu maksudnya serta tahu kesannya,” katanya kepada Sinar Harian.

Firdaus berkata, Syed Saddiq sekarang seakan-akan telah terbuai oleh DAP dan perkara itu membahayakan parti dia sendiri.

“Saya rasa dia (Syed Saddiq) lebih baik berdiam diri sahaja mengenai perkara ini. Walaupun dia seorang pendebat yang bagus, tapi dalam hal ini, saya lihat dia tidak mencernakan dengan secerna-cernanya apa yang dia cakap.

“Persepsi orang terhadap cara Syed Saddiq sekarang ini adalah dia seakan-akan tidak faham sejarah  dan tidak menghayati apa yang dia cakap, Lebih buruk, dia seakan-sakan sudah masuk perangkap DAP.

“Nasihat saya jika Syed Saddiq ada pandangan yang berbeza dengan orang lain, lebih baik dia tak usah cakap, pendam dan fikirkan dahulu,” katanya.

Walau bagaimanapun, Firdaus bersetuju dengan pendekatan yang dilakukan oleh Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Syed Saddiq yang akan mengadakan dialong berhubung perkara kontroversi itu.

“Ini platformnya, dialog ini bukan untuk bergaduh, bertujuan untuk menjelaskan perkara yang sebenar,” katanya.

Terdahulu, Syed Saddiq yang juga Ketua Pemuda Bersatu dilaporkan berkata, zaman ketuanan Melayu telah berakhir selain Malaysia bergerak ke arah fasa baharu yang memperjuangkan kesaksamaan dan perkara tersebut turut menjadi agenda yang akan diperjuangkan Bersatu. – Sinar