KUALA TERENGGANU – Pas mencadangkan peraturan berkaitan pilihan raya perlu digubal bagi mengelakkan mana-mana wakil rakyat sesuka hati meletak jawatan bagi memberi laluan kepada individu tertentu.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya melihat tiada keperluan PRK Parlimen Port Dickson diadakan.

“Bagi kita PRK ini perlu diadakan apabila berlaku kematian, bankrap dan sebagainya.

“Mungkin satu peraturan perlu digubal untuk ahli parlimen tidak semudah itu meletak jawatan. Mungkin lepas ini nak beri laluan kepada bapa saudara, anak saudara yang akhirnya menjadi caca marba,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Pemuda Pas ke-59, hari ini.

Semalam, Datuk Danyal Balagopal Abdullah meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Port Dickson berkuatkuasa serta merta bagi memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, pindaan juga perlu dibuat bagi melarang mana-mana ahli Parlimen melompat parti selepas menang atas tiket parti.

“Sebab wakil rakyat yang menang atas tiket parti, dia dianggap khianat apabila lompat kepada parti lain.

“Kita harap kerajaan boleh gubal satu peraturan untuk menyekat mana-mana ahli Parlimen yang menang lompat parti,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau sempat mengucapkan terima kasih atas kehadiran pimpinan beberapa parti termasuk Pemuda Umno. – Sinar