Malaysia Mampu Julang Piala AFF

Malaysia Mampu Julang Piala AFF

KUALA LUMPUR – Walaupun tugas getir menanti Malaysia bagi final kedua Piala AFF namun ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe tetap menaruh kepercayaan pasukannya mampu menjulang trofi kejohanan biarpun beraksi di tempat lawan.

Berdasarkan format jaringan di tempat lawan, keputusan seri 2-2 menentang Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini memaksa anak-anak buah Cheng Hoe perlu mencatat keputusan menang sekurang-kurangnya satu gol tanpa dibolosi dalam aksi timbal balik di Stadium My Dinh, Sabtu ini.

“Secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan corak permainan pemain bagaimanapun sekali lagi kami dibolosi di awal permainan di mana jaringan tersebut dijaringkan kerana pemain kita hilang tumpuan.

“Bagaimanapun, saya tetap optimis bahawa kita mampu bangkit kerana kita masih ada 90 minit lagi. Saya yakin pemain boleh mengawal situasi beraksi di Hanoi nanti dan mungkin mereka boleh mengejutkan Vietnam,” katanya kepada selepas perlawanan di sini hari ini.

Dalam aksi tersebut, Vietnam terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah hasil jaringan pemain tengah, Nguyen Huy Hong pada minit ke-21 berpunca daripada hantaran Phan Van Duc hasil serangan balas pantas yang dilakukan mereka.

Skuad kendalian Cheng Hoe bagaikan hilang arah apabila gawang Harimau Malaya sekali dibolosi tiga minit kemudian dan kali ini giliran Pham Duc Huy menjaringkan gol selepas menerima hantaran daripada Van Duc.

Malaysia memperoleh gol pertama menerusi tandukan pertahanan, Shahrul Saad pada minit ke-36 sebelum Safawi Rasid menyamakan kedudukan pada minit ke-61 sekali gus menamatkan kemarau gol dalam kejohanan ini.-UTUSAN ONLINE