Inilah perhimpunan pertama yang menyaksikan UMNO berada di pihak pembangkang. Ia juga bersejarah untuk Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sendiri apabila menjadi Presiden UMNO pertama ketika UMNO sudah tidak lagi berkuasa di Putrajaya.

Tidak dinafikan berbanding tahun-tahun sebelumnya, inilah perhimpunan UMNO paling suram apabila ia diakui sendiri oleh rakan-rakan media yang membuat liputan di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.

Walaupun pahit, itulah hakikat yang harus ditelan apabila UMNO diaibkan Pakatan Harapan pada 9 Mei lalu. Dan pada saat menghampiri angka lima bulan, bukan sedikit ahli bahkan pemimpin besar UMNO yang tewas dalam menghadapi dugaan itu.

Walaupun ada memilih pintu keluar apabila mendakwa UMNO sudah hilang arah tuju, namun tidak kurang juga disebabkan tidak mampu dan tidak mahu ‘hidup susah’ jika terus berada dalam kem pembangkang.

Namun, tidak wajar juga untuk mempersalahkan mereka, kerana bayangkan dalam tempoh 61 tahun menjadi parti yang memerdekakan tanah air dan memimpin Malaysia, ramai ahli dan pemimpin UMNO ditatang bagai minyak yang penuh.

Mudah kata, rezeki sewaktu berkuasa sudah tentulah lebih murah dan mewah berbanding selepas hilang nikmat kuasa.

Yang pasti sejak lima bulan lalu juga, banyak pihak menantikan apakah formula terbaharu UMNO untuk menambat kembali hati rakyat.

Menambahkan lagi debaran penantian formula itu apabila satu demi satu pilihan raya kecil UMNO kecundang di tangan Pakatan Harapan. Tidak ketinggalan parti komponen MCA dan rakan baharu pembangkang, Pas.

Menyedari ramai yang melihat beliau lebih banyak mengunci mulut, Zahid dalam Ucapan Dasar Presiden malam kelmarin berkata, diam beliau adalah emas dan tindakan beliau adalah berlian, memetik ahli falsafah China, Lao-Tzu.

Zahid mengakui diam beliau kerana terpaksa memfokus untuk menstrukturkan semula UMNO dan Barisan Nasional.

Rentetan itu, antara penekanan Zahid dalam ucapannya malam kelmarin termasuklah akan meminta semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri UMNO untuk menandatangani aku janji.

Menerusi aku janji itu, jika mereka keluar daripada parti sama ada sebagai wakil rakyat Bebas atau menyertai mana-mana parti lain, secara automatik jawatan mereka sebagai wakil rakyat juga terlucut.

Ia dilihat sebagai antara langkah UMNO untuk mengikat wakil rakyat daripada terus meninggalkan parti itu sewenang-wenangnya. Selain itu, Zahid turut membuat kejutan apabila mencadangkan agar jawatan Presiden parti dihadkan kepada dua penggal sahaja.

Tidak ketinggalan susulan cadangan kerajaan untuk menurunkan umur individu layak mengundi kepada 18 tahun berbanding Zahid juga mencadangkan had umur keahlian UMNO diturunkan daripada 18 tahun kepada 16 tahun.

Semua ini merupakan sebahagian daripada 21 langkah yang dibentangkan Zahid dalam membawa UMNO kembali kepada rakyat.

Walaupun ada banyak cakap-cakap belakang mempersoalkan hala tuju nakhoda baharu kapal UMNO itu, namun hakikatnya ramai yang ternanti-nanti adakah Zahid mampu mengembalikan keramat UMNO dalam Pilihan Raya Umum ke-15 nanti.

Adakah UMNO akan kekal menjadi parti keramat orang Melayu dan bangsa Malaysia, semuanya di tangan 3.6 juta orang ahli UMNO. – Kosmo