‘Menanti Sentuhan Drastik Tok Mat’

‘Menanti Sentuhan Drastik Tok Mat’

SHAH ALAM – Seluruh ahli Umno sedang menantikan sentuhan drastik Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan yang kini diberi tanggungjawab menggalas tugas sebagai Presiden Umno.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Sri Azalina Othman Said berkata, sentuhan drastik berkenaan perlu bagi menenangkan kembali ketidak tentuan yang berlaku di dalam Umno sekarang ini.

“Justeru di harap beliau mampu untuk bertindak segera bagi meredakan kemelut yang melanda sekaligus menggariskan hala tuju yang jelas kepada seluruh kepimpinan parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang berkata, tindakan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membuat keputusan menyerahkan tugas-tugas presiden Umno kepada timbalannya, perlu disambut baik oleh semua ahli-ahli Umno sebagai langkah yang tepat dan berani.

“Saya percaya bukan mudah untuk beliau membuat keputusan tersebut namun beliau telah menunjukkan kematangan dalam politik dan bersikap professional,” katanya.

Semalam, Ahmad Zahid akhirnya akur dengan desakan agar beliau berundur dan menyerahkan tugas memimpin parti kepada timbalannya.

Menurutnya, berdasarkan kemelut yang dihadapi parti hari ini saya ambil keputusan untuk memberi kepercayaan kepada Timbalan Presiden untuk menjalankan tugas sebagai Presiden.

“Saya harap semua polemik mengenai kepimpinan ditamatkan dan saya mahu kepimpinan di peringkat akar umbi fokus perkukuhkan parti,” katanya.

Sebelum ini pelbagai pihak menuntut beliau meletakkan jawatan selepas dilihat gagal menerajui parti susulan tindakan 17 ahli Parlimennya keluar parti.

Terdahulu, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga sebelumnya diminta bercuti susulan pertuduhan-pertuduhan yang dihadapi di mahkamah. -Sinar Harian