Minta PH Contohi Kerajaan Terdahulu

Minta PH Contohi Kerajaan Terdahulu

KEMAMAN – Persatuan Nelayan Kuala Kemaman (PNKM) menggesa kerajaan mengkaji semula pemberian elaun sara hidup nelayan sebanyak RM300 sebulan bagi membantu me­ringankan beban golongan itu terutama dalam menghadapi musim tengkujuh ketika ini.

Pengerusinya, Aziz A. Razak, 56, berharap kerajaan dapat mempertimbangkan untuk meneruskan bayaran elaun itu kepada nelayan bagi menampung kos sara hidup yang semakin meningkat.

Beliau mengakui terdapat dalam kalangan mereka terpaksa mengambil risiko dengan meminjam wang daripada tauke ikan untuk membeli barangan keperluan dapur.

“Kami harap kerajaan Pakatan Harapan berlaku adil kepada golongan nelayan seperti kami dan kembalikan elaun sara hidup RM300 sebulan yang pernah kami terima di bawah pemerintahan kerajaan terdahulu.

“Saya mewakili ahli Persatuan Nelayan Kuala Kemaman amat berharap kerajaan dapat meneruskan elaun sara hidup nelayan dan juga subsidi minyak diesel serta petrol bagi meringankan beban golongan nelayan,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Aziz turut menarik perhatian, pada masa ini Persatuan Nelayan Kuala Kemaman mempunyai 700 nelayan yang berdaftar.

Katanya, kerajaan terdahulu tidak pernah mengetepikan kebajikan nelayan dan selain elaun sara hidup setiap bulan, mereka juga menerima sumbangan barangan keperluan dapur daripada pejabat Parlimen Kemaman setiap kali musim terkujuh.

“Tanpa nelayan turun ke laut, orang ramai tidak dapat nikmati hasil laut yang segar. Pernah satu ketika dahulu musim tengkujuh yang panjang mengakibatkan nelayan seluruh negara tidak dapat turun ke laut, kita terpaksa mengimport ikan dari negara jiran.

“Ikan yang diimport kebiasaannya ikan yang telah lama dimasukkan ke dalam peti sejuk beku sehinggakan tidak lagi ada rasa ikan sebenar,” ujarnya.

Menurutnya, bagi sesi baharu persekolahan, pihaknya merayu kerajaan membantu menyediakan pakaian sekolah untuk keperluan anak-anak nelayan. -Utusan