Najib Nafi Arah Pinda Laporan Akhir Pengauditan 1MDB

Najib Nafi Arah Pinda Laporan Akhir Pengauditan 1MDB

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap pertuduhan mendapatkan perlindungan daripada tindakan tatatertib dengan mengarahkan laporan akhir pengauditan 1MDB dipinda sebelum dimuktamatkan dan dibentang kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC).

Najib yang memakai sut biru gelap memohon dibicarakan dihadapan hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan, Najib didakwa menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya iaitu perlindungan daripada tindakan yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, dengan cara mengarahkan laporan Akhir Pengauditan 1MDB yang sedang disediakan dipinda sebelum laporan berkenaan dimuktamatkan dan dibentang kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC).

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya antara 22 Februari 2016 dan 26 Februari 2016.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwaraya Kanan menawarkan jaminan sebanyak RM 1 juta dengan seorang penjamin namun dibantah peguam yang mewakili Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Shafee dalam hujahnya mempersoalkan jumlah jaminan RM500,000 yang ditawarkan kepada Arul Kanda sedangkan kes itu melibatkan akta yang sama.

Katanya, tindakan menawarkan jaminan yang lebih tinggi adalah tidak adil untuk anak guamnya dan merupakan satu diskriminasi.

Tambahnya anak guamnya juga telah menghadapi empat siri pertuduhan sebelum ini melibatkan RM5.5 juta wang jaminan telah diselesaikan.

Mahkamah kemudian membenarkan Najib dijamin RM500,000 dan perlu dijelaskan hari ini dengan penjamin dan menetapkan sebutan kes pada 4 Januari. – Sinar Harian