Naib Presidennya, Hasri Harun berkata, tiada kewajaran bagi program tersebut dijadikan acara awam dan terbuka dengan publisiti yang diberikan menerusi media massa untuk menarik minat umum.

“Amatlah malang jika Malaysia memberi ruang secara terbuka sedangkan terdapat negara-negara Barat sendiri telah mula mengawal daripada berkembang kegiatan seumpama ini.

“Kami yakin bahawa seluruh agama di dunia seperti Buddha, Hindu, Kristian dan Sikh juga mengharamkan arak di dalam kitab-kitab mereka kerana kesan-kesan dan akibatnya lebih banyak mendatangkan keburukan daripada kebaikan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, individu yang minum arak dan apabila mabuk lebih cenderung melakukan perkara buruk seperti kejahatan dan maksiat secara berterusan tanpa rasa bersalah.

“Saya juga berpandangan kegagalan dan kerosakan dalam masyarakat adalah berpunca daripada kesihatan mental apabila masyarakat terjerumus dengan arak dan budaya songsang.

“Apatah lagi apabila ia menjadi sebaran secara terbuka. Begitu juga menurut beberapa kajian kebanyakan kemalangan jalanraya adalah juga disumbangkan oleh pengaruh alkohol yang tinggi,” katanya.

Justeru beliau turut menggesa semua pihak termasuk polis dan pihak berkuasa tempatan supaya lebih prihatin terhadap perkara ini dengan menghalang penganjuran Oktoberfest. – SH