PETALING JAYA – Pas secara terbuka menentang pelaksanaan sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang dikuatkuasakan oleh kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) mulai 1 September.

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pelaksanaan SST boleh meningkatkan kadar inflasi dan kos sara hidup rakyat yang sedia terbeban.

Katanya, Pas menyeru pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia 8 September ini memberi sokongan kepada calon parti itu, Dr Halimah Ali sebagai menunjukkan kebersamaan untuk mendesak kerajaan menarik balik pelaksanaan SST.

“Kita juga mendesak kerajaan PH mengkaji pelaksanaan cukai yang lebih adil ke atas rakyat seperti pernah dicadangkan Pas dalam Dokumen Hijau.

“Kita kesal sikap kerajaan PH yang terus menunjukkan rasa tidak peduli terhadap janji manifesto mereka membela nasib rakyat berpendapatan rendah (B40) daripada tekanan kos hidup yang semakin meningkat,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Beliau berkata, cadangan pemansuhan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan menambahkan lagi bebanan hidup golongan rakyat B40.

Selain itu, Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian turut mendesak kerajaan menjelaskan dengan lebih terperinci cadangan Kementerian Kesihatan berhubung Skim Insuran Kesihatan Sosial ke atas golongan B40.

“Pas begitu bimbang, rakyat berpendapatan rendah akan dipaksa untuk mencarum dalam skim insuran ini yang akan menambahkan lagi beban kehidupan mereka, khususnya yang mendiami kawasan bandar seperti pengundi di DUN Seri Setia.

“Setelah tinggal seminggu lagi kempen PRK DUN Seri Setia ini, kita melihat terdapat perubahan positif pengundi di DUN ini terhadap Pas dan calonnya, Dr Halimah.

“Bagaimanapun, kita menyedari undi yang diperolehi oleh PH dalam PRU ke-14 yang lalu sangat besar, justeru petugas Pas diseru melipat gandakan lagi usaha merayu pengundi melakukan perubahan pada PRK ini,” ujarnya.

Beliau yakin perubahan besar-besaran sokongan pengundi di DUN Seri Setia kepada Pas akan memberi isyarat penting kepada PH supaya jangan memandang enteng janji yang telah mereka taburkan dalam PRU ke-14 yang lalu.

Pada masa sama, beliau melahirkan penghargaan kepada UMNO, MIC, NGOs dan tokoh perseorangan pelbagai kaum serta semua pihak yang telah bersungguh-sungguh membantu calon Pas atas semangat kebersamaan dalam blok pembangkang dalam PRK Seri Setia kali ini.

“Kerjasama yang diberikan oleh mereka diyakini akan mengukuhkan kuasa politik semak imbang khususnya di Selangor yang mempunyai bilangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH yang begitu besar.

“Usaha untuk memenangkan calon Pas dalam PRK Seri Setia dan juga calon MCA di PRK Balakong adalah ke arah memperkasakan blok pembangkang dalam DUN Selangor demi kebaikan untuk rakyat dan negeri ini,” jelas beliau. – MalaysiaGazette