Pelajar sains kesihatan ditambah

 Pengambilan pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) dalam bidang sains kesihatan akan ditambah daripada 55,000 pada 2010 kepada 150,000 menjelang 2020.

Muhyiddin Yassin bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom melawat gerai pameran pada Majlis Perasmian Kampus Baru PICOMS Batu Muda di Kuala Lumpur, semalam.Muhyiddin Yassin bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom melawat gerai pameran pada Majlis Perasmian Kampus Baru PICOMS Batu Muda di Kuala Lumpur, semalam.

Ia berikutan kekurangan 1.2 juta tenaga kerja profesional dalam bidang penjagaan kesihatan di rantau Asia Tenggara yang dijangka meningkat kepada 1.8 juta menjelang 2020.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kerajaan melabur sehingga RM1.4 bilion dengan nilai pendapatan kasar negara RM2.8 bilion bagi meningkatkan akses pendidikan dalam bidang sains kesihatan.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, negara berupaya memenuhi permintaan tenaga profesional dalam bidang penjagaan kesihatan.

“Kini lebih banyak hospital awam dan swasta dibangunkan yang semuanya memerlukan tenaga mahir. Berikutan itu, mereka yang mengikuti pengajian dalam bidang ini mempunyai peluang kerja yang cerah,” katanya ketika melancarkan kampus baru Kolej Sains Perubatan Antarabangsa Pusrawi (PICOMS), di Taman Batu Muda di sini semalam.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah PICOMS, Datuk Mohd Zubir Sheikh Saad dan Ketua Pegawai Eksekutif PICOMS, Ahmad Zakuan Khairuddin.

Pendidikan jana RM60.7b 

Muhyiddin juga berkata, sektor pendidikan dijangka menjana RM60.7 bilion kepada pendapatan kasar negara di bawah Bidang Keberhasilan Ekonomi Negara (NKEA).

Ketika ini, pendidikan sains kesihatan yang ditawarkan di tujuh IPT awam dan 62 IPT swasta, membabitkan 80,096 pelajar, adalah kluster utama di bawah NKEA sektor pendidikan. Daripada jumlah itu, 30,316 pelajar di IPTA dan 49,780 di IPTS.

Mengenai pembukaan kampus ketiga PICOMS itu, Muhyiddin berkata, kolej yang menawarkan enam kursus sains kesihatan peringkat diploma itu adalah pelaburan bijak dan bertepatan dengan permintaan tenaga kerja profesional penjagaan kesihatan yang semakin meningkat di dalam dan luar negara.

Beliau juga menyokong hasrat kolej berkenaan dinaikkan taraf sebagai kolej universiti pada 2013 berdasarkan keupayaan dan jaringannya dengan IPT luar negara seperti Universiti East London, Universiti Sains dan Teknologi Jordan dan Universiti Al-Azhar, Mesir.