Pemuda BN Shah Alam Kecam Moorthy

Pemuda BN Shah Alam Kecam Moorthy

SHAH ALAM – Pemuda BN Shah Alam menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya terhadap kebiadaban kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy.

Laporan polis turut dibuat diketuai Ketua Pemuda Umno Bahagian Shah Alam, Mohd Dendera Billah Zamzuri dan Ketua Pemuda Umno Bahagian Kota Raja, Sheikh Weshal Sheikh Ahmad.

Turut hadir menyatakan bantahan, Ketua Pemuda MCA Bahagian Shah Alam, Teh Kwang Kiat dan Ketua MIC Bahagian Shah Alam, G Jiwaratinam.

Mohd Dendera Billah berkata, pihaknya mengecam kenyataan menteri yang memegang portfolio Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial itu yang berbaur hasutan.

“Beliau mengeluarkan satu kenyataan berbentuk fitnah dan rasis dalam satu video yang tular di media sosial baru-baru ini yang boleh memecahbelahkan perpaduan kaum.

“Video yang tular baru-baru ini berdurasi 2 minit 39 saat itu dipercayai dirakam ketika P Waytha Moorthy selesai membuat pembentangan di satu seminar dengan Ahli-Ahli Parlimen Dutch/Holland di Eropah.

“Beliau menggambarkan seolah-seolah negara menghadapi masalah pencabulan hak asasi yang kronik dan melakukan penindasan kepada kaum dan agama lain sedangkan semua itu fitnah,” katanya.

Tegasnya, pemimpin utama  Hindraf itu jelas memburuk-burukkan negara dengan menyebarkan kenyataan palsu berupa fitnah dan berbaur hasutan.

“Isu ini sejajar dengan hasrat beliau yang mencadangkan agar kerajaan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

“Perkara ini jika dibiarkan tanpa sebarang tindakan pihak berwajib, kemungkinan besar bakal menggugat perpaduan kaum di negara ini.

“Kami berharap dan menggesa pihak polis supaya menyiasat perkara ini dengan kadar segera,” katanya dalam satu kenyataan media. -Sinar Harian