Pencemaran Pasir Gudang : Tak Perlu Pindah Penduduk Kerana Rumah Boleh Ditutup Pintu – MB Johor

Pencemaran Pasir Gudang : Tak Perlu Pindah Penduduk Kerana Rumah Boleh Ditutup Pintu – MB Johor

Pasir Gudang  : Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian berkata penduduk di kawasan perumahan di sini adalah tidak tidak terjejas dengan pencemaran kimia yang berlaku oleh kerana rumah mereka mempunyai pintu yang boleh ditutup dan penduduk pula tidak keluar sewaktu siang hari.

Beliau menjawab sedemikian apabila ditanya oleh wartawan sama ada penduduk di kawasan perumahan yang berhampiran dengan sungai yang tercemar dengan bahan kimia tersebut perlu dipindahkan.

“Saya lihat kawasan perumahan ini tidak terjejas. Hanya sekolah-sekolah kerana sekolah ini ia agak terbuka, terdedah. Rumah ni dia tutup pintu dan sebagainya.

Mereka yang duduk di rumah ni biasanya mereka tak akan keluar sewaktu siang hari .. kalau ikutkan kita punya bancian, perumahan ini tidak begitu terjejas hanya yang terjejas sikit adalah sekolah.” – Datuk Osman Sapian

Osman berkata demikian ketika sidang media di Menara Aqabah, Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) petang tadi.

Pada perkembangan yang sama, Osman turut mengumumkan pasukan petugas khas (task force) bagi menangani isu pencemaran kimia tersebut. Pasukan itu melibatkan beberapa agensi berkaitan bagi menyiasat punca sebenar pencemaran berkenaan.

Beliau juga meluluskan peruntukan bantuan kecemasan dan memberi fokus kepada pengawalan pencemaran yang melanda kawasan itu.

‘Tak Perlu Cari Salah Sesiapa’, Semua Pihak Perlu Bertenang

Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian menyeru kepada semua pihak agar bertenang dan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam menguruskan bencana pencemaran bahan kimia di Pasir Gudang, dengan cekap, cepat dan selamat.

Menurutnya, ketika ini, semua pihak tidak perlu menuding jari mencari salah mana mana pihak, dan cuba bermain politik kerana fokus utama adalah menumpukan kerja-kerja pengawalan, selain mengurus serta merawat pesakit yang telah menerima kesan daripada pencemaran itu.

“Saya mohon kepada semua rakyat untuk berdoa dan memberi sokongan terutama kepada mangsa dan juga keluarga yang terkesan daripada pencemaran ini.

“Saya tegaskan sekali lagi jangan menyebar sebarang berita palsu sebaliknya memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa dalam mengurus bencana ini,” katanya pada sidang media di Menara Aqabah, MPPG di sini sebentar tadi.

Osman berkata, beliau bersama pihak berkaitan telah berbincang mengenai langkah-langkah segera berhubung insiden tersebut, selain sudah memulakan kerja membuang sisa toksik di Sungai Kim Kim.

“Pada malam ini, kita akan teruskan. Sekarang ini ada satu kontraktor melakukannya dan kita akan melantik dua lagi supaya kerja kerja pembersihan ini dapat dilaksanakan dengan segera, kalau boleh secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata, perbincangan bersama pihak polis juga telah dilakukan berkaitan pelaku pencemaran tersebut supaya tindakan segera dan lebih drastik dapat diambil dalam masa terdekat.

“Selain daripada itu kita juga telah pun menggerakkan pelbagai bentuk kawalan kawalan yang lain, semasa kita menjalankan tugas ini. Dengan kawalan daripada PDRM, bomba dan sebagainya,” katanya.

Tindakan Kerajaan Negeri Johor

– Menubuhkan Jawatankuasa Kerja dibawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri yang diketuai Menteri Besar Johor yang akan menjalankan kerja-kerja menyelaras tindakan oleh Jabatan Kesihatan, Jabatan Alam Sekitar, Bomba, PDRM dan Majlis Keselamatan Negeri.

– Melantik kontraktor (dilesenkan Jabatan Alam Sekitar) untuk membersihkan kawasan tercemar di Sg Kim Kim dan kerja-kerja pembersihan sudah dimulakan semalam.

– Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor telah menahan 3 suspek yang terlibat dalam kejadian pencemaran Sg Kim Kim

– JAS telah pun menggerakka asetnya dari seluruh negara terutamanya alat pengesan gas dan 100 pegawainya dan lebih banyak aset kerajaan pusat akan tiba untuk membantu kerja-kerja pembersihan kawasan tercemar oleh kontraktor.

– JAS telah selesai menyiasat suspek dan sample dari kawasan tercemar.

-The Klasik