Pertuduhan Pengubahan Wang Haram Najib Tiada Kaitan 1MDB, Equanimity – Peguam

Pertuduhan Pengubahan Wang Haram Najib Tiada Kaitan 1MDB, Equanimity – Peguam

KUALA LUMPUR – Pertuduhan pengubahan wang haram terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di mahkamah hari ini langsung tidak mempunyai kaitan dengan skandal 1Malaysia Berhad Development (1MDB).

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, 65, berkata kesemua pertuduhan itu juga tiada kena-mengena dengan kapal mewah ‘Equanimity’ yang dipercayai sebahagian daripada aset yang dibeli menggunakan dana 1MDB.

“Kes ini bukan 1MDB, kes ini kes SRC (SRC International Sdn Bhd), ini (juga) tidak ada kena-mengena dengan bot yang besar yang tiba di PelabuhanKlang.

“Secara kebetulan pertuduhan dibuat di mahkamah hari ini, orang ramai beranggapan mungkin ada kaitan dengan bot Equanimity dan 1MDB. Ia tidak ada kena-mengena langsung,” katanya kepada pemberita di lobi mahkamah selepas prosiding pendakwaan terhadap Najib selesai.

Sehubungan itu Muhammad Shafee berharap orang ramai tidak mengaitkan pertuduhan tambahan itu dengan kedua-dua perkara tersebut.

Semalam, kapal mewah yang dikaitkan dengan ahli perniagaan kontroversi Low Taek Jho atau Jho Low berlabuh di Terminal Boustead Cruise Centre, Klang, di sini pada 12.35 tengah hari diiringi empat bot peronda Polis Marin.

Kapal itu dikatakan mula belayar dari kepulauan Batam, Indonesia sehari sebelumnya selepas dilaporkan diserahkan kepada pegawai kanan Polis Marin Malaysia di Batam.

Kapal mewah itu dipercayai sebahagian daripada aset yang dibeli menggunakan dana 1MDB dan pihak berkuasa antarabangsa masih memburu Jho Low yang dikatakan pemilik kapal tersebut.

Mengulas isu pertukaran Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak dari Mahkamah Tinggi ke Mahkamah Sivil dan digantikan Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali untuk mendengar kes Najib, Muhammad Shafee berkata pihaknya telah mengemukakan surat kepada Hakim Besar Malaya Tan Sri Zaharah Ibrahim berhubung perkara itu, semalam.

Tegas Shafee, pihaknya tidak menyalahkan kedua-dua hakim tersebut namun menyifatkan sistem kehakiman negara tidak telus apabila menukarkan Sofian tanpa permohonan rasmi di mahkamah terbuka.

“Sekarang, walaupun kami tidak ada masalah dengan kedua-dua (hakim) Nazlan atau Sofian, kami fikir sistem (pendaftaran Putrajaya) tidak peka. Jika anda fikir hakim Sofian mesti tarik diri maka anda (pendakwaan dan pembelaan) perlu membuat permohonan di hadapan beliau.

“Namun tidak ada yang buat permohonan agar Mohd Sofian menarik diri. Kami bukan merungut tentang hakim cuma kami tidak berpuas hati tentang proses. Apa yang berlaku bukan silap kedua-dua hakim tetapi sistem yang salah… kenapa anda lakukan demikian, kenapa anda tukar dan pindahkan hakim tanpa melakukannya di mahkamah terbuka,” katanya.

Terdahulu pada prosiding hari ini, Najib mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini, atas tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM42 juta hasil daripada aktiviti haram milik dana SRC International Sdn Bhd, dalam dua akaun miliknya, empat tahun lepas.

Bagi pertuduhan pertama hingga ketiga, Najib didakwa menerima wang masing-masing berjumlah RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta yang merupakan hasil daripada aktiviti haram, melalui Real Time Electronic Transfer of Funds and Securities (“Rentas”) dalam dua akaun AmIslamic Bank Berhad miliknya bernombor 2112022011880dan 2112022011906.

Beliau dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan AmBank Group, No. 55, Jalan Raja Chulan di sini antara 26 Dis 2014 dan 10 Feb 2015.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram, atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta atau mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – MediaUMNO