SHAH ALAM – Janji calon PRK Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada pengundi mengenai program dan projek yang diperoleh selain menaja program tuisyen percuma tidak melanggar Seksyen 10 (a) dan (b) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Penganalisis politik, Kamarul Zaman Yusoff berkata, sebelum ini Mahkamah Persekutuan dalam kes antara Wong Hua Seh dengan Ding Kuong Hiing pada 23 Januari 2009 memutuskan bahawa janji projek pembangunan bukan kesalahan dari sudut undang-undang.

“Selain memutuskan bahawa janji pembangunan adalah a legitimate promise (satu janji sah), Mahkamah Persekutuan juga memutuskan bahawa sesuatu janji pilihan raya hanya dianggap sebagai rasuah jika wujud elemen bargaining (tawar-menawar),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, calon Bebas, Stevie Chan Keng Leong membuat laporan polis berhubung kempen Anwar  yang didakwanya melanggar peraturan pilihan raya.

Beliau mendakwa, kempen Anwar kepada pengundi berhubung program dan projek yang diperoleh selain menaja program tuisyen percuma melanggar Seksyen 10 (a) dan (b) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang berkaitan dengan penyogokan.

Mengulas lanjut, Kamarul Zaman berkata, Arifin turut menyatakan elemen tawar-menawar ini hanya wujud jika ada janji daripada calon pilihan raya untuk membuat sesuatu dan sekiranya ada terdapat janji balas daripada pengundi untuk mengundi calon tersebut sebagai tukaran.

“Secara moral memanglah agak kurang wajar jika mana-mana calon menggunakan kelebihan sebagai kerajaan untuk menjanjikan projek-projek pembangunan kepada pengundi tetapi dari sudut undang-undang perkara ini memang bukan satu kesalahan.

“Malah, janji Tengku Razaleigh Hamzah selaku Menteri Kewangan untuk mencurahkan lebih banyak wang bagi memajukan Pengkalan Kota jika calon BN menang dalam PRK di situ pun diputuskan Tan Sri Eusoffe Abdoolcader pada 1981 sebagai bukan rasuah,” katanya. – SH