PRK Port Dickson: Pengundian Awal Bermula

PRK Port Dickson: Pengundian Awal Bermula

PORT DICKSON – Seramai 7,191 pengundi awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson dijangka mengundi di tiga pusat mengundi yang dibuka 8 pagi ini.

Mereka merangkumi 6,636 anggota tentera dan pasangan masing-masing yang mengundi di Hangar, Pusat Latihan Asas Tentera Darat dan di Dewan Serba guna, Kem Segenting PD serta 555 anggota polis yang menunaikan tanggungjawab mereka di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson.

Tiga pusat pengundian itu membabitkan 13 saluran dengan 10 dibuka sehingga 5.30 petang sementara bakinya sebanyak tiga saluran di IPD Port Dickson iaitu Khemah A, B dan C akan ditutup pada 12 tengah hari kerana jumlah pengundi yang kecil.

Selepas pusat pengundian ditutup, semua kertas undi akan disimpan di lokap IPD Port Dickson dan hanya akan dikira di pusat penjumlahan undi di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson pada 13 Oktober nanti.

Proses pengundian awal itu akan disaksikan oleh ejen calon yang bertanding di bahagian pilihan raya yang berkenaan dan pemerhati pilihan raya terdiri daripada wakil organisasi serta pertubuhan bukan kerajaan yang dilantik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

SUASANA persiapan di lokasi hari pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson, Negeri Sembilan. – Foto Iqmal Haqim Rosman

PRK Parlimen Port Dickson adalah PRK keempat menyusuli PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, DUN Seri Setia dan DUN Balakong, semuanya di Selangor, selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei lepas.

PRK ini menyaksikan persaingan tujuh penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan PAS, Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar, serta lima calon Bebas termasuk bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, serta bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Tiga lagi calon Bebas ialah personaliti media sosial, Stevie Chan Ken Leong; pakar perunding pengurusan, Kan Chee Yuen; dan bekas pensyarah universiti swasta, Lau Seck Yan.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan oleh penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah, untuk membolehkan Anwar yang juga Ketua Umum PKR, bertanding dalam usaha kembali ke Dewan Rakyat.

Kerusi itu yang juga kubu kuat PKR sejak 2008, mempunyai lima kerusi Dewan Undangan Negeri iaitu Chuah dan Lukut, masing-masing dikuasai DAP, Bagan Pinang dan Linggi (Barisan Nasional) serta Sri Tanjung (PKR).

SPR menetapkan Sabtu ini sebagai hari pengundian.

Parlimen Port Dickson memiliki 75,770 pengundi berdaftar merangkumi 43 peratus pengundi Melayu, Cina (33 peratus), India (22 peratus) dan lain-lain kaum (2 peratus). – BERNAMA