PRK Seri Setia, Balakong Wajar Dijalankan Serentak

PRK Seri Setia, Balakong Wajar Dijalankan Serentak

PUTRAJAYA – Tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia wajar dijalankan serentak bersama PRK DUN Balakong bagi memudahkan urusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan jentera parti politik yang bertanding.

Pensyarah Kanan dari Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ketika dihubungi berkata, beliau melihat jentera parti boleh bergerak serentak untuk berkempen di kedua-dua PRK itu.

“Jika tarikh lain ditetapkan, dikhuatiri akan menjejaskan tumpuan jentera selain hilang fokus terutama selepas PRK Sungai Kandis dan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu.

“Saya juga difahamkan, Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini sedang bersiap untuk berdepan pemilihan justeru, jika PRK berkenaan dapat diselesaikan lebih awal mereka boleh memberi tumpuan kepada pemilihan itu,” katanya.

SPR akan mengadakan Mesyuarat Khas esok bagi membincangkan tarikh-tarikh penting Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N32 Seri Setia.

Mesyuarat itu akan membincangkan tarikh penting Pilihan Raya Kecil (PRK) seperti tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, Daftar Pemilih yang akan digunakan dalam pilihan raya itu dan persiapan lain yang diperlukan bagi melaksanakan pilihan raya itu.

Sebelum ini juga, SPR menetapkan 18 Ogos ini sebagai hari penamaan calon dan 8 September depan sebagai hari pengundian bagi PRK DUN Balakong.

Kerusi DUN Seri Setia kosong berikutan kematian penyandangnya Prof Dr Shaharuddin Badaruddin pada 2 Ogos lalu manakala, kerusi DUN Balakong pula kosong kerana kematian penyandangnya dari PKR, Eddie Ng Thien Chee yang terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 20 Julai lalu.

Berhubung tempoh berkempen yang lama iaitu selama 21 hari yang ditetapkan bagi DUN Balakong, Awang Azman berkata, tempoh kempen yang lama itu ada kewajarannya terutama bagi menarik lebih ramai pengundi untuk keluar mengundi.

“Saya lihat jumlah keluar mengundi bagi PRK Sungai Kandis baru-baru ini sangat berkurangan justeru, kempen pilihan raya perlu lebih lama,” katanya.

Katanya, pengundi di PRK Balakong dan Seri Setia juga perlu bijak menilai parti mana yang boleh memberi keyakinan kepada mereka selain melihat sejauh mana Manifesto Pakatan Harapan (PH) berjaya ditunaikan.

Awang Azman berkata, pada PRK Sungai Kandis baru-baru ini, beliau melihat pengundi protes untuk turun mengundi malah, motivasi mereka juga sudah menurun.

“Rakyat mungkin sudah letih selepas pilihan raya umum (PRU) yang lalu sekali gus kurang peduli kepada PRK itu,” katanya.

Katanya, pengundi di kedua-dua PRK itu juga perlu bijak menilai adakah kerajaan baru lebih prihatin kepada keperluan mereka berbanding kerajaan terdahulu terutama dalam menunaikan manifesto masing-masing.