Ini berikutan tidak semua rakyat yang mendapatkan rawatan di hospital swasta mempunyai pendapatan yang tinggi selain ingin mengelakkan menunggu lama di hospital kerajaan yang menjadi tumpuan utama rakyat.

Justeru, laporan Kosmo! pada 3 Oktober lalu yang mendedahkan bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menilai semula polisi yang memerlukan pesakit yang dirujuk dari hospital swasta ke hospital kerajaan atas pelbagai masalah kesihatan membayar kos rawatan kelas pertama melegakan orang ramai.

Mengikut Perintah Fi (Perubatan) (Pindaan) 2017, semua pesakit yang dirujuk ke hospital kerajaan (dari hospital swasta) perlu membayar kos rawatan kelas pertama merangkumi caj wad, rawatan, siasatan dan pembedahan.

Sebagai contoh, pesakit hanya perlu membayar caj wad RM3 sehari untuk pesakit kelas tiga berbanding antara RM45 hingga RM120 sehari bagi pesakit kelas satu.

Antara yang lega mendengar keputusan penilaian semula polisi tersebut ialah Nurul Arifah Maidin, 30, kerana dia sering mendapatkan rawatan di hospital swasta apabila anak lelaki tunggalnya yang berusia dua tahun mengalami masalah kesihatan.

“Kajian semula caj hospital itu penting kerana tidak semua orang yang mendapatkan rawatan di hospital swasta mempunyai banyak duit.

“Ada yang pergi ke hospital swasta kerana ingin mendapatkan rawatan yang cepat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Akuinya, perkhidmatan yang diberikan di hospital kerajaan sangat bagus tetapi ekoran orang terlalu ramai membuatkan mereka terpaksa pergi ke hospital swasta.

Tindakan terbaik

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Doktor Islam Malaysia (PERDIM), Dr. Zubaidi Ahmad berkata, ia merupakan tindakan terbaik apabila KKM ingin mengkaji semula peraturan yang mahu pesakit membayar rawatan lebih tinggi di hospital awam jika dirujuk dari hospital swasta atau hospital universiti.

“Adalah tidak adil jika berpandangan pesakit yang pada mulanya pergi ke hospital swasta lebih mampu membayar caj tinggi jika mereka berpindah ke hospital awam.

“Sepatutnya semua pesakit harus dikenakan caj yang sama walaupun ia dirujuk dari hospital atau klinik swasta,” terangnya.

Tambah beliau, semua warganegara Malaysia mempunyai hak yang sama apabila mendapat rawatan di hospital kerajaan.

Mereka yang dirawat di hospital swasta dan kemudian dirujuk ke hospital kerajaan tidak semestinya pesakit yang kaya.

“Bil rawatan mereka mungkin ditanggung oleh pihak majikan atau insurans.

“Caj yang tinggi boleh dikenakan sekiranya pesakit sendiri yang mahukan mereka masuk ke wad pertama,” tuturnya.

Zubaidi berkata, mereka (pesakit) mungkin dirujuk ke hospital kerajaan apabila doktor di hospital atau klinik swasta tidak memiliki kemudahan yang baik untuk merawat pesakit mereka.

Di samping itu, KKM juga harus meluaskan peraturan tersebut melibatkan rujukan dari klinik swasta yang dikatakan mengenakan caj rawatan lebih mahal jika dibandingkan di pusat kesihatan kerajaan.

Sementara itu, Zubaidi juga mencadangkan agar penjaga kepada pesakit yang menerima rawatan di hospital berjauhan daripada tempat tinggal agar diberikan bilik sewa dengan harga lebih rendah.

“Ia membolehkan mereka bersama pesakit dan menemankan pesakit di wad,” ulasnya.