Rakyat Tidak Nampak Keadilan Dilaksanakan Dalam Kes Rasuah Guan Eng – Dr Shamsher Thind

KUALA LUMPUR – Seorang pensyarah undang-undang,  Dr Shamsher Singh Thind mendakwa, rakyat di negara ini tidak melihat keadilan itu telah dilaksanakan mengikut prinsip dan kehendak undang-undang di dalam kes rasuah Lim Guan Eng, di mana terdapat beberapa perkara yang menimbulkan persoalan berhubung ketelusan pihak Peguam Negara membuat keputusan untuk menggugurkan kes ini.

Katanya, di dalam prinsip undang-undang, keadilan mesti ditegakkan namun tidak cukup hanya untuk melaksanakan keadilan tetapi keadilan yang dilaksanakan itu mestilah juga nampak di mata rakyat di negara ini.

“Di dalam kes Lim Guan Eng ini, adakah rakyat melihat keadilan itu sedang dilaksanakan? Adakah rakyat melihat keadilan itu sedang berlaku dalam kes rasuah Menteri Kewangan ini?

“Perasaan was-was dan ragu-ragu yang timbul di kalangan rakyat hari ini sudah cukup untuk memberikan isyarat bahawa keadilan itu tidak berlaku”, katanya.

Soal beliau walaupun pihak pendakwaraya mengatakan bahawa dengan selesainya kes rasuah Lim Guan Eng dengan penarikan kes ini, maka keadilan telah terlaksana, maka kita ingin katakan bahawa rakyat sebenarnya tidak nampak berlakunya atau terlaksananya keadilan dalam kes ini.

“Mengapa rakyat tidak nampak keadilan itu berlaku? Ini kerana timbul beberapa persoalan di kalangan rakyat tentang ketelusan di dalam keputusan ini.

“Saya mahu bertanya, kenapa representasi ini tidak dibuat sebelum ini?  Selepas PH menang dalam PRU ke 14 pun, tidak dilakukan sebarang reprenstaion ini. Mengapa? Ini kerana mereka mahu melihat, siapakah Peguam Negara yang dilantik itu terlebih dulu. Jika tidak begitu, mengapa mereka mesti menunggu Tommy Thomas dilantik sebagai Peguam Negara, baru mereka mahu membuat representasi?

“Begitu juga dengan alasan bahawa kes ini lemah. Jika benar kes ini lemah, maka mengapa mereka tidak teruskan sehingga mahkamah membuat keputusan bahawa Guan Eng tidak bersalah, dan mereka boleh menang dengan bergaya tanpa menimbulkan sebarang tanda tanya di kalangan rakyat seperti yang berlaku hari ini,” soalnya tegas.

Beliau berkata demikian ketika dijemput sebagai ahli panel dalam program diskusi U.30 yang membawa tajuk Pertahan The Rule Of Law yang bersiaran secara langsung di medium facebook rasmi UMNO Online.

Selain daripada itu, beliau turut menyentuh beberapa kes ahli politik dan aktivis PH turut digugurkan selepas Tommy Thomas dilantik sebagai Peguam Negara.

“Mungkin kalau pengguguran beberapa kes-kes yang melibatkan aktivis dan juga ahli politik PH  yang dianggap sebagai satu pertuduhan remeh temeh, namun dalam isu kes rasuah Lim Guan Eng ini, ia bukanlah satu kes remeh temeh.

“Ini disebabkan kita sudah ada satu sejarah di mana seorang Menteri Besar pernah masuk penjara kerana kes yang serupa dengan apa yang dihadapi oleh Menteri Kewangan hari ini. Isu rumah ini lebih murah, rumah ini bukan macam rumah Khir Toyo, rumah ini tiada swimming pool, itu semua adalah fakta yang tidak material,” ujarnya.

Tambahnya lagi, ada segelintir rakyat yang mempersoalkan, apa salahnya urus niaga tersebut kerana urus beli penjualan dengan sebutan harga itu telah dipersetujui oleh kedua-dua belah, jadi apa masalahnya di situ?

“Masalahnya ialah, bukan kita tidak boleh membuat urus niaga yang dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak, bukan kita tidak boleh membeli rumah yang diberikan diskaun, tetapi masalahnya ialah bila kamu seorang penjawat awam, kamu tidak boleh menerima apa saja benda yang berharga dan bernilai daripada seseorang yang mempunyai hubungan rasmi dengan tugas-tugas kamu sebagai penjawat awam.

“Saya bukanlah mahu mengatakan bahawa Guan Eng bersalah. Apa yang saya mahu katakan ialah, biarlah mahkamah yang menentukan perkara itu. Biar rakyat melihat bahawa keadilan itu telah dilaksanakan dan telah berlaku. Saya juga akan tumpang gembira jika Lim Guan Eng didapati tidak bersalah. Tidak ada masalah tentang itu,” jelasnya. – MediaUMNO