Rosmah, Tengku Adnan Dan Rizal Ke SPRM Esok

Rosmah, Tengku Adnan Dan Rizal Ke SPRM Esok

PUTRAJAYA – Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor merupakan antara individu yang menerima notis hadir ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) esok.

Menurut sumber, selain kedua-dua individu itu, turut menerima notis sama adalah bekas pegawai khas Rosmah, Datuk Rizal Mansor.

“Mereka dikehendaki hadir ke ibu pejabat SPRM pada pukul 9 pagi esok berhubung siasatan yang sedang dijalankan SPRM,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kata sumber itu lagi, mereka bakal didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur Khamis ini atas pertuduhan beberapa kes penyelewengan dan salah guna kuasa semasa era pentadbiran kerajaan terdahulu.

Sumber itu tidak menolak kemungkinan mereka akan ditahan di lokap SPRM.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan Rosmah dan Rizal akan didakwa berkaitan kes penyelewengan projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah-sekolah di Sarawak.

Selain itu, Tengku Adnan merangkap Ahli Parlimen Putrajaya bakal didakwa di mahkamah sama berkaitan kes penjualan tanah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Baru-baru ini, media melaporkan sebanyak 97 transaksi meragukan membabitkan penjualan tanah DBKL seluas 273.27 hektar bernilai RM5.63 bilion disiasat oleh satu pasukan khas ditubuhkan Kementerian Wilayah Persekutuan serta SPRM sejak 31 Julai lalu.

Pada bulan lalu, Tengku Adnan yang merupakan mengakui SPRM memanggilnya lebih 12 kali berhubung isu penjualan tanah tersebut. – UTUSAN ONLINE