‘Saiful beritahu saya dia diliwat’

KUALA LUMPUR: 24 Ogos – Bekas doktor Pusat Rawatan Islam (PUSRAWI) di sini yang juga pegawai perubatan pertama melakukan pemeriksaan perubatan terhadap Mohd Saiful Bukhari Azlan memberitahu Mahkamah Tinggi semalam, bekas pembantu Datuk Seri Anwar Ibrahim itu mengadu kepadanya dia diliwat, selain objek plastik dimasukkan ke dalam duburnya.

Dr Mohamad Osman Abdul Hamid, saksi kedua pembelaan yang berasal dari Myanmar berkata, Mohd Saiful menemuinya di PUSRAWI pada 29 Jun 2008 dan memberitahu dia mengalami rasa sakit di bahagian dubur.

Beliau yang mendapat ijazah perubatan dari Universiti Yangon, berkata selepas menjalankan pemeriksaan, beliau memberitahu Mohd Saiful bahawa duburnya berada dalam keadaan sihat dan normal tanpa sebarang kesan koyak, bagaimanapun Mohd Saiful mengadu dia diliwat dan merasa takut.

Ketika dirujuk laporan perubatan disediakannya hasil pemeriksaan itu oleh peguam Karpal Singh yang mewakili Anwar, saksi itu berkata selepas pemeriksaan dijalankan, Mohd Saiful turut memberitahu objek plastik dimasukkan ke dalam duburnya seperti dinyatakan dalam laporan perubatan itu.

Sementara itu, ketika disoal balas Peguam Cara Negara II, Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden, Dr Mohamad Osman, berkata ketika memaklumkan berhubung objek plastik itu, Mohd Saiful turut memberitahunya dia diliwat oleh orang kenamaan (VIP).

Dr Mohamad Osman berkata, beliau pada mulanya tidak bertanyakan Mohd Saiful berhubung punca yang menyebabkannya rasa sakit di dubur kerana tidak mengharapkan jawapan daripada pesakit kerana tugasnya adalah untuk menjalankan pemeriksaan terhadapnya.

Ditanya sama ada Mohd Saiful mengetahui bahawa dalam laporan perubatan itu ada menyatakan berhubung objek plastik, saksi itu menjawab; “Tidak.” Dr Mohamad Osman bagaimanapun tidak memberikan sebarang jawapan mengapa beliau tidak berbuat demikian.
Saksi itu juga menafikan cadangan Mohamed Yusof bahawa dirinya seorang yang mudah dipengaruhi kerana memberikan laporan perubatan kepada seseorang yang bukan pegawai atasannya dan membuat akuan bersumpah (SD) berhubung laporan itu selepas diminta berbuat demikian oleh seorang peguam walaupun tidak mengetahui identiti peguam terbabit.

Dr Mohamad Osman berkata, beliau menyediakan SD itu atas permintaan seorang peguam yang bertindak bagi pihak hospital.

“Saya diminta menyediakan SD untuk fail sulit hospital, berikutan kebocoran mengenai laporan perubatan saya berkaitan dengan Mohd Saiful ketika saya berada di Myanmar,” katanya.

Mohamed Yusof turut mencadangkan kepada saksi bahawa Mohd Saiful tidak pernah memberitahunya mengenai objek plastik itu kerana jika diberitahu sedemikian maka dalam laporan perubatan tidak akan disebut diliwat.
Bagaimanapun, Dr Mohamad Osman yang bertugas di Institut Jantung Negara (IJN) menjawab: “Dia (Mohd Saiful) ada beritahu saya.”

Pendakwaan kemudian mencadangkan bahawa saksi hanya memasukkan maklumat tambahan berhubung objek plastik dalam laporan perubatannya selepas itu dan ia ditulis tanpa sebarang komunikasi dengan Mohd Saiful, yang dijawabnya: “Tidak.”
Ketika pemeriksaan semula oleh Karpal, Mohamad Osman ditanya sama ada nota dalam laporan perubatan itu ditulis sehari selepas pemeriksaan ke atas Mohd Saiful dijalankan, yang dijawab: “Ia dicatatkan pada hari sama.”

Sementara itu, saksi ketiga pembelaan, Pakar Forensik Dr David Wells ketika menjawab soalan peguam bela SN Nair, berkata laporan perubatan disediakan pakar Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang menyebut ‘tiada penemuan konklusif kemasukan dalam dubur’ tidak sepatutnya ditulis begitu.

Beliau berkata, mengikut pengalamannya ia sepatutnya ditulis ‘tiada sebarang penemuan’ kerana perkataan konklusif itu bermakna pakar yang menjalankan pemeriksaan tidak pasti dengan hasil penemuannya.

Katanya lagi, amat sukar untuk mendapatkan hasil keputusan yang baik daripada sampel DNA yang berusia lebih daripada 36 jam dan belum pernah menjalankan analisa DNA terhadap sampel yang diambil daripada rektum selepas 24 hingga 36 jam kerana ia adalah satu tempoh yang lama tanpa udara kering.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah bersambung hari ini.

– berita harian