“Saya Kembali UMNO Kerana Hanya UMNO Mampu Lindungi Bangsa Melayu” – Zamil

“Saya Kembali UMNO Kerana Hanya UMNO Mampu Lindungi Bangsa Melayu” – Zamil

“Saya kembali kepada UMNO kerana saya sedar hanya UMNO yang mampu lindungi bangsa Melayu tanpa mengenepikan bangsa-bangsa lain,” ujar Bekas pemimpin PKR Pusat,  Zamil Ibrahim.

Beliau menyerahkan borang keahlian UMNO kepada Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Lokman Noor Adam di Ibu Pejabat UMNO Malaysia setelah 20 tahun keluar daripada parti UMNO.

“Dulu saya keluar daripada UMNO kerana krisis antara Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan Anwar Ibrahim. Kembalinya saya kepada UMNO hari ini tiada langsung agenda politik peribadi tetapi hanya demi Bangsa Melayu.

“Pada pandangan peribadi saya, Melayu kini berada di persimpangan yang amat genting dan atas rasa tanggungjawab terhadap bangsa Melayu dan Islam, maka saya merasakan adalah perlu untuk saya dan rakan-rakan yang menyepi sebelum ini kembali bangkit mempertahankan bangsa Melayu di bawah bumbung UMNO,” ujar beliau dalam satu sidang media penyerahan borang keahlian UMNO.

Beliau turut melahirkan rasa kesal melihat Dap di bawah pentadbiran Lim Kit Siang berjaya memecah-belahkan bangsa Melayu melalui Tun Mahathir.

“Tun ibarat pisau yang sedang memotong-motong bangsa Melayu dan tuan punya pisau adalah Kit Siang.

“Justeru saya menyeru kepada rakyat negara ini terutama golongan di bawah 40 an untuk membaca kembali sejarah Dap serta sejarah penubuhan PKR serta Amanah agar mereka dapat mengenali pemimpin negara kini terutama Tun Mahathir yang pernah menggunakan UMNO untuk menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun serta bagaimana anak-anak beliau boleh menjadi terlalu kaya dalam tempoh yang singkat.

“Baca juga sejarah UMNO yang telah berjaya menjaga bangsa Melayu serta tidak meninggalkan bangsa lain serta mewujudkan perkongsian kuasa di kalangan semua bangsa,” ujarnya lagi. – MediaUMNO