Sekarang Masa Tepat Untuk Kemunculan Semula Anwar – TPM

Sekarang Masa Tepat Untuk Kemunculan Semula Anwar – TPM

PETALING JAYA – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata sekarang adalah masa yang tepat bagi presiden PKR yang dipilih, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dalam pilihan raya kecil untuk membolehkan beliau menjadi anggota parlimen dan kembali ke Dewan Rakyat.

Menurut Dr Wan Azizah, suaminya dipenjarakan selama beberapa tahun dan kini beliau kembali semula untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Beliau telah dipenjarakan selama 10, 11 tahun sekarang, apa maksud anda? Dan anda mahu memperkatakan tentang tidak sabar-sabar? Sekarang adalah masa yang baik dan beliau masih mahu berkhidmat. Beliau (sebelum ini) dinafikan untuk berada di parlimen, ia (peluang itu) dinafikan daripadanya,” katanya kepada pemberita selepas melawat ke OrphanCARE di sini hari ini.

Dr Wan Azizah berkata demikian sebagai respons kepada soalan kenapa Anwar tidak menunggu sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan pilihan raya kecil parlimen Port Dickson adalah pilihan raya ketiga diadakan yang memihak kepadanya.

Ditanya tentang nepotisme di parlimen berikutan kemunculan kembali suami beliau dan anak perempuan mereka, Nurul Izzah Anwar juga seorang Anggota Parlimen, Dr Wan Azizah berkata: “Ada masalah kah? Sebab saya ingat kami dipilih oleh rakyat”.

Kerusi parlimen Port Dickson dikosongkan bagi Anwar untuk beliau bertanding selepas penyandangnya, Danyal Balagopal Abdullah mengumumkan peletakan jawatannya.

Dalam PRU14, Danyal memenangi kerusi itu dengan majoriti 17,710 undi mengalahkan calon BN dan PAS.

Terdahulu dalam ucapan bersempena lawatan ke OrphanCARE, Dr Wan Azizah berkata perkhidmatan perlindungan bayi yang ditawarkan yayasan tersebut bukanlah penyelesaian kepada kes pembuangan bayi.

Bagaimanapun beliau berharap kewujudan ‘baby hatch’ di pusat itu dapat membantu wanita yang ditimpa kesusahan serta mendapatkan sokongan sosial dalam meneruskan kelangsungan hidup bayi mereka.

“Ternyata perkhidmatan yang ditawarkan kepada anak-anak ini adalah sekadar jangka pendek sebelum ditempatkan semula bersama keluarga baharu. Semestinya penempatan sementara ini jauh lebih baik daripada dijumpai terbuang dan dalam beberapa kes menyayat hati, tidak dapat diselamatkan,” katanya.

Menurut statistik Polis Diraja Malaysia, pada 2017 sebanyak 120 kes pembuangan bayi dilaporkan dan hanya 41 bayi ditemui selamat dan 79 telah meninggal dunia.

Sementara itu 49 kes pembuangan bayi direkodkan pada Januari hingga April 2018 dengan 17 ditemui hidup dan 32 meninggal dunia.- Bernama