Sekolah Tahfiz Antara Penyumbang Pembentukan Modal Insan Cemerlang

Sekolah Tahfiz Antara Penyumbang Pembentukan Modal Insan Cemerlang

SHAH ALAM – Pembangunan infrastruktur sekolah tahfiz dan usaha meningkatkan taraf sistem kurikulumnya harus diberi perhatian pihak berwajib berikutan institusi itu antara penyumbang kepada pembentukan modal insan yang cemerlang.

Perkara itu disuarakan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis daripada PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni yang turut menyifatkan cadangan pihak tertentu untuk menutup sekolah tahfiz di seluruh negara baru-baru ini sekadar bunyi ‘radio karat’ yang ketinggalan zaman.

Beliau berkata, walaupun wujud sekolah tahfiz di negara ini termasuk di Selangor yang dibangunkan dalam keadaan serba kekurangan, namun masih banyak yang diselia dengan baik sehingga melahirkan ramai modal insan kelas pertama.

“Seperti Maahad Integrasi Tahfiz Sains dan Teknologi Klang (MITST) ini, ia adalah institusi tahfiz yang dinaik taraf kerajaan negeri sehingga menjadi antara yang terbaik di negeri ini. Malah kerajaan negeri juga banyak membantu menaik taraf sekolah tahfiz sama ada seliaan Jabatan Agama Islam Selangor mahupun persendirian.

“Langkah ini harus didokong dan dibela semua pihak, individu terlibat patut buka mata dan jangan disebabkan mahu dapat sokongan sanggup nafikan kebenaran,” katanya kepada pemberita selepas melawat MITST di Alam Impian, Seksyen 35 di sini, dalam rangka kempennya sempena PRK berkenaan.