SPAD Dibubarkan, Tapi 260 Bekas Pekerja Belum Diserap Ke Agensi Lain

SPAD Dibubarkan, Tapi 260 Bekas Pekerja Belum Diserap Ke Agensi Lain

PETALING JAYA: Seorang bekas kakitangan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang dibubarkan tahun lalu mendakwa beliau bersama lebih 250 rakan sekerjanya masih menunggu diserapkan ke agensi kerajaan lain.

Penjawat awam itu yang hanya mahu dikenali sebagai Wan mendakwa ada di kalangan rakan sekerjanya yang ditempatkan di agensi lain dengan skop kerja jauh berbeza daripada tugas asal mereka di SPAD dan ada pula yang berdepan pemotongan gaji sehingga 60%.

Wan yang bimbang akan hilang punca pendapatan kerana belum mendapat penempatan semula di agensi lain, menyifatkan kerajaan tidak adil kerana tidak memberi maklumat kepada mereka atau diberikan masa secukupnya untuk mencari kerja lain.

“Selepas dimansuhkan, kakitangan SPAD sangat tidak bernasib baik. Masih berbaki 260 kakitangan yang tidak mendapat penempatan.

“Ini bermakna saya bakal kehilangan kerja dan kami tidak akan mendapat gaji lagi. Saya sendiri diletakkan dalam senarai nama yang tidak mempunyai apa-apa tawaran.

“Saya akan mencari kerja setakat mana yang boleh dahulu untuk meneruskan kelangsungan hidup,” katanya kepada FMT yang bakal menyambut kelahiran anak ke-2.

Wan bertugas di Bahagian Sumber Manusia SPAD cawangan Perak sejak 2013, sebelum Putrajaya mengumumkan pembubaran suruhanjaya itu pada 23 Mei lalu.

Beliau turut mendakwa ada di kalangan rakan sekerjanya yang ditempatkan di negeri lain yang jauh daripada tempat bertugas mereka sebelum ini.

“Penempatan baru juga tidak masuk akal…mereka ditawarkan bekerja di Pelabuhan Klang, sedangkan sebelum ini bekerja di Terengganu.

“Apabila tengok jumlah perjawatan yang diisi, banyak pula yang tidak kena. Contohnya, kerja yang ditawarkan lari dari bidang tugas (asal) terlalu jauh.

“Ramai kawan saya yang mempunyai keluarga sangat tertekan kerana selain perlu menyara keluarga, mereka juga perlu menanggung liabiliti yang ada.”

Pada 16 Ogos lalu, Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook memberi jaminan kerajaan akan menjaga kebajikan kakitangan SPAD, termasuk memberi pampasan pemberhentian kerja.

Katanya, suruhanjaya itu secara keseluruhannya mempunyai 999 kakitangan merangkumi pekerja tetap dan kontrak, selain pekerja dilantik di bawah anak syarikat SPAD, iaitu SPAD Pro Berhad.

“Kebanyakan mereka akan diserapkan ke bawah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), tapi bukan semua kakitangan itu adalah kakitangan penguatkuasaan.

“Kebanyakannya dalam JPJ kita perlukan bahagian penguatkuasaan, maka sesiapa yang terlibat dalam penguatkuasaan di SPAD, mereka akan diserapkan dalam JPJ tertakluk kepada kelayakan mereka.”

Loke berkata, pembubaran SPAD dapat menjimatkan kos perbelanjaan mengurus sebanyak RM38.5 juta setahun, manakala peralihan SPAD kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) yang berperanan melaksanakan dasar pembangunan sektor pengangkutan awam darat, tidak lagi memerlukan penglibatan anggota sebagai anggota suruhanjaya.

Selain SPAD, Putrajaya turut membubarkan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Majlis Profesor Negara (MPN) serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) di seluruh negara. -FMT