Timbalan Pengerusinya, Datuk Dr Afifi Al-Akiti berkata, jawatankuasa tertinggi itu akan memberi penumpuan kepada pelbagai aspek pentadbiran Islam meliputi badan berkanun serta agensi kerajaan, bidang kehakiman, mahkamah syariah, perundangan, isu halal dan sebagainya.

Felo Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford itu berkata, jawatankuasa tertinggi itu akan mula bersidang buat kali pertama pada 9 Ogos ini selepas Majlis Letak Kerja dan penyampaian Watikah Pelantikan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

“Kami akan bersidang, memanggil semua pihak yang berkaitan termasuk menerima pandangan daripada NGO, wakil agama lain serta orang ramai dan melakukan kajian selama lima bulan sehingga hujung tahun ini sebelum satu laporan lengkap mengenai syor-syor jawatankuasa tertinggi dikeluarkan.

“Laporan ini akan menjadi buku panduan kepada pelaksanaan penstrukturan semula termasuklah sama ada mahu menukar Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau hanya menukar namanya, mahu memperkasakan mahkamah syariah atau tidak,” katanya.

Beliau berkata, laporan itu akan bersifat komprehensif dan penting untuk masa depan kedudukan institusi-institusi Islam di peringkat persekutuan.

“Malaysia kini seakan-akan sedang di ambang suatu krisis pertengahan usia selepas 61 tahun Merdeka. Maka kita perlu mengambil peluang yang bersejarah ini untuk betul-betul melakukan jika perlu perubahan, penambahbaikan dan penstrukturan semula semua institusi agama di peringkat Persekutuan,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Isnin lalu, Majlis Raja-Raja berkenan menubuhkan Jawatankuasa Tertinggi Hal Ehwal Islam Peringkat Persekutuan yang dianggotai lima orang ahli yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Setiausaha Negara, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan Dr Afifi sebagai timbalan.

Tiga anggota lain adalah Prof Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan, Datuk Nooh Gadot dan Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.

Kesemua mereka dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V dengan perkenan Raja-raja Melayu yang bersidang pada 10 Julai lepas.

Dr Afifi berkata, selain lima panel yang diumumkan sebelum ini, jawatankuasa tertinggi juga akan turut dianggotai oleh seorang wakil masing-masing dari Sabah dan Sarawak yang akan diumumkan pada majlis Khamis ini sebagai menghormati semangat Perjanjian Malaysia 1963.

“Bukan itu sahaja, semua parti politik di negara ini akan terlibat dalam perbincangan dengan jawatankuasa tertinggi termasuklah daripada Umno, Pas dan DAP. Setiap parti akan ada seorang wakil orang Islam dan nama-nama wakil tersebut juga telah diterima oleh jawatankuasa tertinggi,” katanya.

Menyentuh mengenai jawatankuasa tertinggi itu yang diletakkan di bawah Majlis Raja-Raja, Dr Afifi menjelaskan bahawa langkah sebagai langkah pertama mengelakkan Islam daripada terus dipolitikkan di negara ini.

Atas faktor itu, Dr Afifi berkata, keputusan untuk jawatankuasa tertinggi itu berfungsi berlandaskan perkenan Raja-Raja Melayu adalah tepat dan disokong oleh semua parti politik di negara ini sama ada di pihak kerajaan mahu pun pembangkang.

Ditanya sama ada jawatankuasa tertinggi itu akan dibubarkan selepas laporan kajian dikeluarkan, Dr Afifi berkata:

“Kalau boleh dibubarkan terus kerana tidak larat menanggung amanah yang berat ini, tapi perkara itu tetap termaktub di bawah bidang kuasa Majlis Raja-Raja dengan persetujuan Kabinet sama ada mahu diteruskan atau sebaliknya,” katanya. – SH